Perak Hari Ini

Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak yang ke-35

 

KUALA KANGSAR: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah dimasyhurkan sebagai Sultan Perak ke-35 dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV yang telah berlangsung di Balairong Seri Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, sebentar tadi.

Dalam istiadat berkenaan, Tuanku Zara Salim turut dimasyhurkan sebagai Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah wakil-wakil Sultan dan Raja dari beberapa negeri.

Hadir sama, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang mewakili Yang DiPertua Agong dan ikuti oleh Yang DiPertua Negeri bagi negeri Sarawak, Sabah, Melaka, Pulau Pinang, serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Istiadat Tabal Adat Pertabalan Sultan Perak XXXV telah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Ia disusuli dengan istiadat membawa masuk Al-Quran oleh Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan dan menyembahkannya kepada Sultan Nazrin di Singgahsana sebelum dikucup oleh baginda dan diletakkan diatas tempat khas.

Istiadat berkenaan diteruskan lagi dengan membawa masuk Watikah Pemasyhuran Pertabalan DYMM Sultan Perak dan Pedang Cura Si Manja Kini.

Watikah pemasyhuran berkenaan telah dibawa masuk oleh Setiausaha Dewan Negara Perak Toh Amar Seri Diraja, Datuk Ayob Hashim dan telah dibacakan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.

Ia diteruskan dengan penyerahan Pedang Si Manja Kini oleh Raja Chik Muda kepada Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja sebelum disembahkan kepada DYMM Sultan Perak di atas Singgahsana.

Baginda kemudiannya telah mengucup Pedang Si Manja Kini sambil Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja melaungkan ‘Daulat Tuanku’ dan diikuti oleh semua jemputan sebanyak tiga kali.

Dalam pada masa yang sama, paluan nobat telah dimainkan serentak dengan tembakan 21 das bedilan meriam.

Istiadat disusuli dengan mempersembahkan Mestika Embun dab Cap Halilintar oleh Toh Seri Nara DiRaja kepada Sultan Nazrin Shah.

Toh Seri Nara DiRaja telah naik kesinggahsana telah mempersembahakan Mestika Embun dan menyunting Cap Halilinar ke telinga Kanan DYMM Sultan sambil membisikan ‘Rahsia Nisab Sultani’.

Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV diteruskan lagi dengan pemasyhuran Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim sebagai Raja Permaisuri Perak.

DYMM Sultan Nazrin Shah telah menyematkan ‘Bunga Pencawa Pencara’ ke hulu (kepala) DYMM Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim serentak dengan laungan ‘Daulat’ Sebanyak tiga kali oleh Orang Kaya Seri Bendahara Seri Maharaja.

Majlis diteruskan lagi dengan ucapan tahniah yang dipersembahkan oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai wakil kerajaan Negeri serta rakyat.

Istiadat berkenaan disusuli dengan Titah daripada DYMM Sultan Perak dan diakhiri dengan bacaan doa oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");