Berita Hari Ini

Terpaksa guna kerana tiada pilihan

GUA MUSANG – Berikutan tiada pilihan, pemandu treler balak masih menggunakan sebuah jambatan kayu di Kampung Kuala Betis, dekat sini, yang pernah mengorbankan nyawa seorang kelindan, dua bulan lalu.

Jambatan kayu tersebut masih menjadi laluan utama treler balak sehingga kini, untuk menghantar kayu-kayu balak dari beberapa hutan berhampiran kawasan penempatan Orang Asli ke kilang papan.

Dalam kejadian dua bulan lalu, seorang lelaki berusia 30-an maut apabila treler balak yang dinaikinya terbabas di jambatan kayu berkenaan sebelum terjunam ke dalam sungai, manakala bapanya yang merupakan pemandu kenderaan terbabit cedera parah.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, jambatan kayu usang itu masih menjadi laluan penting bagi semua treler balak manakala sebuah jambatan besi berhampiran hanya digunakan untuk laluan kenderaan ringan.

Pemandu treler balak, Hassan Muhamad, 45, berkata, dia serta lain-lain pemandu treler balak terpaksa menggunakan juga jambatan berkenaan walaupun sedar bahaya yang menanti.

Hassan turut mengakui amat takut setiap kali melalui jambatan kayu terbabit kerana treler balak mudah terbabas dan kejadian treler balak jatuh ke dalam sungai memang kerap berlaku.

“Jambatan kayu yang semakin reput itu sudah dibaiki oleh syarikat pembalakan walaupun tidak sempurna.

“Kami sentiasa rasa berdebar apabila melalui jambatan itu dan kerap berdoa serta menyerahkan takdir kepada Tuhan,” katanya.

Seorang lagi pemandu treler yang ditemui, Yusof Kadir, 51, memberitahu, sebelum ini telah beberapa kali berlaku kejadian treler balak terbabas dan terjunam ke dalam sungai berkenaan.

“Setakat ini hanya seorang maut dalam kejadian seumpama itu, iaitu dalam kejadian terbaharu pada dua bulan lalu. Bagaimanapun sudah empat individu cedera parah setakat ini.

“Kami harap akan ada simpati daripada kalangan pemimpin kerajaan dan membina jambatan konkrit untuk kegunaan treler balak melintasi sungai tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");