Membawang Hari Ini

Tiada masa cari teman hidup

Tidak dapat dinafikan, nama penyanyi Heliza Helmi cukup sinonim dengan program amal, motivasi dan aktiviti kemanusiaan sejak memperlahankan aktiviti seninya beberapa tahun lalu.

Selaku duta Aman Palestin dan penceramah motivasi, pemilik nama sebenar Nur Heliza Helmi, 28, mengakui agendanya padat dengan pelbagai program dan aktiviti berkaitan terutama memberi bantuan kepada warga Palestin dan Syria sejak kebelakangan ini.

“Buat masa ini, kami tidak boleh masuk ke kawasan Gaza kerana aspek keselamatan. Namun, perjuangan tetap kami teruskan untuk membebaskan bumi Palestin dengan mengadakan ‘road tour’ ke negara lain.

“Terbaru, saya baru kembali dari ‘road tour’ ke Adelaide, Hobart dan Melbourne di Australia selama lima hari. Selain itu, saya juga sibuk dengan pelbagai program motivasi dan perbincangan ilmiah dianjurkan,” katanya.

Sesibuk manapun dengan program amal dan aktiviti kemanusian, Heliza mengakui dia tidak pernah melupakan karier nyanyian yang sudah sebati dengan dirinya sejak dulu.

“Saya belum berhenti menyanyi lagi, tetapi lebih selesa dengan album dan lagu berkonsep kerohanian dan zikir sesuai dengan perjuangan dakwah sekarang. Antaranya, projek pembikinan album solo berjudul Jom dan album duet bersama rakan artis yang juga sahabat, Salima (AF4). Kami juga tampilkan tiga lagu dan minus one untuk album mini bersama Salima itu,” katanya.

Heliza mengakui dia turut membataskan aktiviti seni demi memberikan fokus pada syarikatnya, Heliza Helmi Production (HHP).

“Saya juga menceburi bisnes pakaian, penerbitan buku-buku ilmiah, agama dan ceramah motivasi dan sebagainya lagi. Apa yang penting, apa saja produk atau perkhidmatan yang ditawarkan syarikat perlu memberikan manfaat kepada masyarakat. Selain itu, saya juga menguruskan perniagaan busana Muslimah iaitu Falah Abiyana bersama rakan kongsi,” katanya.

Pada masa sama, Heliza juga lebih selektif memenuhi undangan nyanyian ketika ini. Bukan tiada tawaran berlakon atau menyanyi, tetapi penyanyi itu ingin memastikan setiap tawaran yang datang sesuai dengan perjuangannya sebagai aktivis kemanusiaan.

“Saya juga hanya menerima undangan menya­nyi jika sesuai dengan imej dan penampilan serta ada kelapangan ketika itu,” katanya.

Dalam perkemba­ngan lain, Heliza juga mula berjinak-jinak dengan penulisan buku menerusi Diari Seorang Mujahidah: Kembara Di Bumi Syrua sekali gus berkongsi pe­ngalamannya ketika berdakwah.

“Saya berharap peminat tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan buku ini yang sudah mula dijual di pasaran,” katanya.

Nafi bercinta dengan pensyarah

Sebagai selebriti, nampaknya, Heliza juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa gosip walaupun dia sudah membataskan aktiviti seninya itu.

Selepas dikaitkan dengan penyanyi nasyid Hafiz Hamidun, nama Heliza sekali lagi terkena tempias gosip apabila didakwa menjalinkan hubungan dengan pensyarah pula.

“Saya memang terkejut dengan gosip yang tidak berasas itu. Dari mana mereka dapat cerita saya bercinta dengan pensyarah itu? Gosip itu tidak benar sama sekali.

“Terus terang, agenda saya sangat padat dengan pelbagai aktiviti dan program dan saya tidak ada masa pun nak membaca gosip di laman sosial. Justeru, saya berharap, gosip itu dihentikan dengan segera kerana ia tidak benar,” kata­nya.

Diminta mengulas soal teman istimewa pula, Heliza mengakui dirinya masih solo.

“Terus terang, saya sangat sibuk dengan pelbagai aktiviti dan tidak ada masa untuk berehat pun. Malah, saya pun hanya dapat tidur sejam sehari sejak kebelakangan ini. Kesibukan dengan pelbagai aktiviti dan menguruskan karier seni juga menyebabkan saya tidak ada masa untuk mencari teman hidup.

“Saya tidak berasa tekanan soal jodoh kerana keluarga cukup memahami mengenai perkara itu. Kakak saya pun belum berkahwin lagi. Apapun, saya juga berdoa kepada Allah semoga dipertemukan dengan jodoh yang baik nanti,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");