Jenayah

Ugut pelajar tahfiz dengan parang

KUALA LUMPUR – Gara-gara mengugut pelajar tahfiz yang membuat bising di dalam masjid menggunakan parang, seorang pekerja kedai makan didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nur ‘Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Idris Adnan, 49, setelah dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah kepada tiga orang pelajar Mahad Tahfiz Zaid Bin Haritsah, tujuh hari lepas.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Idris didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengancam menggunakan sebilah parang di dalam Masjid Zaid Bin Haritsah, Jalan Gombak, Wangsa Maju, di sini pada 10 pagi, 22 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya atau jika ugutan hendak menyebabkan kematian atau kecederaan parah boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang merupakan tukang cuci sukarelawan di masjid berkenaan telah beberapa kali menegur pelajar-pelajar tahfiz yang membuat bising di dalam masjid tetapi tidak diendahkan.

Berang dengan tindakan pelajar itu, tertuduh masuk ke dalam masjid dengan membawa sebilah parang panjang dan memarahi pelajar-pelajar yang ketika itu sedang mengaji sambil mengacukan parang.

Ketika rayuan tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh memohon hukuman denda paling minimum dengan alasan anak guamnya perlu menanggung lima orang anak yang kini menetap bersama bekas isteri di Singapura.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tindakan mengugut boleh mengganggu keharmonian masyarakat.

“Mungkin tertuduh berniat untuk menegur tetapi perbuatan mengugut melampaui teguran untuk mendidik.

“Dan parang sama ada diguna dengan sengaja atau tidak boleh mendatangkan kecederaan. Tertuduh yang sudah matang sepatutnya menggunakan kematangan untuk mendidik anak-anak tahfiz,” hujahnya. – Bernama

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");