Membawang Hari Ini

Usop Wilcha: Menghonjang Makhluk Muzium

SEBELUM ini, pelakon Syed Mohamad Asri atau lebih dikenali dengan panggilan Usop Wilcha, lebih sinonim dengan filem-filem arahan rakannya, Mamat Khalid.

Namun, enggan berada di takuk lama, gesaan daripada Mamat menyaksikan idea kreatif dalam menghasilkan filem terbaharunya, Usop Wilcha: Menghonjang Makhluk Muzium.

Bukan sekadar terlibat sebagai pelakon utama, malah Usop menggalas tanggungjawab lain yang lebih besar iaitu sebagai penulis skrip dan penerbit bersekutu untuk filem ini.

Menurut Usop, sebelum ini dia tidak pernah terfikir untuk menghasilkan skrip mana-mana filem, namun setelah mempertimbangkan cadangan daripada Mamat, dia mula memikirkan idea-idea pembikinan cerita untuk filem.

“Sebenarnya, Mamat yang suruh saya siapkan satu skrip ketika kami sama-sama terlibat dalam penggambaran filem, Zombie Kilang Biskut.

“Katanya, sampai bila saya perlu berdiri sebagai pelakon sahaja dan tidak cuba mencari peluang lain dalam industri termasuk menerbitkan filem.

“Setelah mempertimbangkan cadangan itu, saya mendapat idea untuk mengangkat kisah-kisah yang berlainan daripada corak skrip yang banyak digunakan sejak akhir-akhir ini. Di situlah timbulnya idea untuk menerbitkan filem ini,” katanya lagi.

Tambah Usop, memandangkan minatnya lebih kepada kisah-kisah sejarah, dia membuat keputusan untuk mengangkat jalan cerita sejarah, namun diadun dengan komedi dan seram.

“Untuk mengangkat cerita-cerita hantu Malaysia, ia seperti mengulangi naskhah-naskhah yang ada. Jadi, saya cuba tonjolkan kelainan pada filem ini dengan adunan pelbagai genre.

“Dalam filem ini, saya cuba menghasilkan satu jalan cerita yang menggabungkan kisah hantu dan sejarah dengan mengangkat tokoh-tokoh lama sejarah tempatan,” katanya.

Night At The Museum versi Malaysia?

Mengisahkan mengenai insiden yang berlaku ketika penganjuran pameran hantu dunia, Usop cuba menerapkan nilai penghormatan dan kepentingan terhadap fakta-fakta sejarah yang semakin dilupakan oleh majoriti masyarakat zaman kini.

Pihak muzium menganjurkan pameran hantu-hantu dunia dalam usaha menarik orang ramai untuk datang ke muzium.

Namun, penganjuran pameran hantu dunia ini tanpa disedari dirancang oleh pihak tertentu dalam usaha menghidupkan Count Dracula (Vlad The Impaler) yang pasti akan menyebabkan keadaan negara menjadi huru-hara.

Pun begitu, rancangan licik kumpulan ini disedari patung-patung tokoh lama yang mempunyai semangat memastikan rancangan ini gagal.

Era Perak Man, Sultan Melaka bersama Bendahara Tun Perpatih Putih dan Datuk Maharaja Lela bersama Si Putum dikumpulkan dalam filem ini.

Demi menyelamatkan keturunan anak cicit mereka, masing-masing terpaksa berkomunikasi dengan orang luar yang boleh mereka percayai.

Sehinggalah, Usop Wilcha terperangkap dalam situasi ini apabila secara kebetulan, dia dipanggil untuk membaiki penghawa dingin yang sering rosak.

Menghasilkan garapan cerita menarik dan belum pernah diterokai oleh mana-mana pengkarya tempatan, namun ada yang menyamakan kisah ini dengan filem Hollywood, Night At The Museum, lakonan Ben Stiller.

Namun bagi Usop, dia menerima setiap pandangan yang dilontarkan secara positif dan menganggap ia pandangan peribadi setiap orang.

“Kita tidak boleh menyekat cara pemikiran orang dan terpulang kepada mereka untuk menyamakan filem ini dengan mana-mana filem sekalipun. Jika disamakan dengan filem berkenaan, saya turut merasa bangga dan sudah tentu otang teruja untuk melihat Night At The Museum versi Malaysia.

“Walaupun pada pandangan orang nampak sama, namun tetap ada kelainannya kerana saya memilih untuk mengangkat tokoh-tokoh sejarah tempatan.

“Malah, untuk menghasilkan filem ini bukanlah satu yang mudah kerana banyak kajian yang perlu saya lakukan untuk mendapatkan maklumat dan cerita yang sahih,” katanya lagi.

Jelas Usop, filem berskala besar yang turut melibatkan pelakon-pelakon popular termasuk Nasir Bilal Khan, Namron, Hitler Zami dan pendatang baharu, Elizabeth Tan ini menelan kos hampir RM2 juta.

Bertanya mengenai hasil kerja pengarah hebat, Mamat Khalid, Usop memberitahu bahawa dia sangat berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama daripada rakannya itu.

“Saya tiada masalah bekerja dengan Mamat malah, orang semua tahu bahawa hasil kerja Mamat adalah yang terbaik dan tidak mengecewakan. Saya sudah lama bekerjasama dengan dia dan sudah tahu cara kerjanya,” kata Usop lagi.

Mamat puji Elizabeth Tan

Memilih Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) di Tanjung Malim, Perak sebagai lokasi, Mamat memberitahu proses penggambaran filem ini mengambil masa kurang sebulan iaitu 25 hari.

Sepanjang tempoh itu, akui Mamat, dia tidak berdepan dengan sebarang masalah namun ada beberapa cabaran yang terpaksa ditempuhi.

“Cabaran yang paling besar adalah untuk menjaga penyelenggaraan bangunan muzium semasa penggambaran kerana bangunan tersebut sangat indah dan lama.

“Kami harus berhati-hati ketika memasang lampu dan peralatan kamera. Namun, Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan ‘shot’ bangunan muzium itu dari sudut yang unik,” katanya.

Ditanya mengenai gandingan pelakon dalam filem ini, pengarah filem, Warewolf Dari Bangladesh ini melahirkan rasa teruja apabila dapat bekerjasama dengan Usop dan beberapa pelakon yang dikagumi.

“Saya seronok bekerja dengan mereka termasuk Nasir Bilal Khan, Namron dan Kamarul Yusuf. Malah, mereka berjaya menghidupkan watak-watak tokoh pahlawan Melayu dengan jayanya.

“Mengenai pendatang baharu, Elizabeth Tan pula, pemilihan dilakukan oleh Usop sendiri. Namun, bagi saya, Elizabeth sangat berbakat dalam seni nyanyian dan mahu mencuba bidang lakonan.

“Komitmen yang diberikan juga sangat bagus dan berjaya menghidupkan watak yang diberi atas usahanya sendiri,” jelas Mamat lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");