Membawang Hari Ini

Zain tinggalkan Oh My English?

BAGI peminat siri hiburan berpendidikan Oh My English! pasti mengenali watak Mr Henry Middleton yang dibawa Zain Saidin.

Malah, tidak keterlaluan mengatakan wujudnya keserasian antara Mr Henry Middleton dengan Zain sehingga menyebabkan wataknya itu sentiasa diingati.

Mengakui hal itu, suami kepada aktres Rozita Che Wan itu memberitahu, watak Mr Henry beri impak mendalam ke atas kerjaya lakonannya.

“Ahamdulillah, seperti mana programnya, watak itu juga sangat kuat sehingga digemari kanak-kanak.

“Ramai yang kata watak itu melekat dengan saya, padahal dulu masa saya sekolah, saya bukanlah pelajar yang rapat dengan guru.

“Nampak pelik, tapi saya tak sangka saya mampu menjiwai dan memahami karakter tersebut sekali gus mempopularkan nama saya,” katanya kepada Zass yang ketika ditemui selepas pelancaran musim baharu Oh My English! Class of 2015, baru-baru ini.

Enggan lagi dibayangi watak itu, Zain bagaimanapun mengakui karakter berkenaan menyebabkan dia sukar menerima tawaran berlakon lain.

Bahkan, Zain tidak teragak-agak meninggalkan siri popular tersebut jika memerlukannya buat demikian.

“Sebagai pelakon, dah pasti saya mahu kelainan dalam setiap watak yang saya bawa kerana ingin menjadi pelakon versatil.

“Kalau ada rezeki, memang saya nak kekal dengan watak ini di samping menikmati tawaran lain. Tapi, jika terpaksa, saya akan lepaskan.

“Lagipun, sampai bila saya perlu kekal dengan watak Mr Henry Middleton? Saya juga ingin kembangkan bakat lakonan saya,” katanya.

Begitu pun, pelakon drama Gemersik Kalbu ini tidak berhasrat meninggalkan siri popular itu dalam masa terdekat ini.

“Masih belum ada perancangan ke arah itu. Tapi, apabila saya tidak lagi menjadi Mr Henry, banyak perubahan perlu lakukan.

“Saya perlu tampil dengan penampilan baharu yang lebih segar,” katanya.

Sementara itu, Zain bakal muncul dalam musim terbaru Oh My English! Class of 2015 sekali gus memperlihatkan perkembangan wataknya sebagai Mr Henry Middleton.

Menariknya, untuk musim terbaharu ini, Zain terpaksa menggunakan sut badan gemuk (fat suit) bagi menjayakan wataknya yang mengalami obesiti.

“Sut itu sangat panas, seperti duduk dalam sauna. Saya sentiasa berpeluh dan kerap membukanya bagi menghilangkan rasa panas.

“Saya sangat tertekan, tapi pada masa sama seronok kerana ia pengalaman baharu,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");