Berita Hari Ini

1,600 pegawai bomba bantuan dilantik

MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menempatkan seramai 1,600 Pegawai Bomba Bantuan di balai kategori D dan C di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Bomba, Datuk Soiman Jahid berkata setakat ini seramai 600 Pegawai Bomba Bantuan telah dilantik, namun jumlah itu masih tidak mencukupi.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan untuk penambahan seramai 1,000 orang Pegawai Bomba Bantuan sehingga penghujung tahun ini bagi menampung kekurangan anggota khususnya di kawasan pedalaman.

“Jika diikutkan kekuatan Pegawai Bomba Bantuan sedia ada, itu memang tidak mencukupi. Kita memerlukan seramai 1,000 lagi bagi menampung kekurangan anggota di balai-balai seluruh negara.

“Kita jangkakan kesemua Pegawai Bomba Bantuan yang akan dilantik itu bakal ditempatkan di balai kategori D dan C bermula awal tahun depan,” katanya selepas majlis Pentauliahan Kursus Asas Pegawai Bomba Bantuan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 150 Pegawai Bomba Bantuan seluruh negara telah berjaya menamatkan latihan selama 10 hari dan akan ditempatkan di 39 balai terpilih.

Soiman berkata pengambilan bomba bantuan juga dapat menukar syif bekerja Bomba daripada 24 jam kepada syif 12 jam sekali gus dapat menjaga kebajikan anggota bomba.

Katanya mereka akan menerima elaun sebanyak RM6 sejam menyamai kadar yang ditetapkan bagi anggota bantuan lain seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (Jpam) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Mereka akan membantu anggota bomba tetap dalam menjalankan tugas-tugas memadam kebakaran dan operasi menyelamat,” katanya.

Selain bomba bantuan Jabatan Bomba juga turut mempunyai bomba sukarela bagi membantu kira-kira 13,000 pegawai dan anggota jabatan itu. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");