Sukan Hari Ini

Copa America: Vargas wira Chile ke final

SANTIAGO: Dua jaringan Eduardo Vargas membantu Chile menundukkan Peru, 2-1, untuk layak ke final Copa America di sini, sekali gus kian hampir mencapai impian menjuarai kejuaraan Amerika Selatan itu.

Vargas, yang melalui musim suram secara pinjaman bersama bekas pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Rangers, meledak gol kemenangan pada minit ke-64 bagi membawa negaranya layak ke final kejohanan buat pertama kali sejak 1987.

Dia sebelum itu, meletakkan Chile di depan pada minit ke-42 menerusi rembatan kencang kontroversi berikutan penolong pengadil gagal mengesan kedudukan ofsaid pemain itu.

Peru yang bermain dengan 10 pemain hampir sepanjang aksi selepas Carlos Zambrano dibuang padang gara-gara membuat terjahan keras ke atas Charles Aranguiz pada minit ke-20, kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Gary Medel pada minit ke-60.

Namun, Vargas yang sebelum itu turut kecewa selepas jaringannya dibatalkan gara-gara ofsaid pada awal babak kedua, kembali mengukuhkan kedudukan Chile menerusi gol yang dianggap terbaik setakat ini sepanjang temasya empat minit kemudian.

Pemain berusia 25 tahun itu berjaya mendapat bola dari kawasan tengah, sebelum melakukan sepakan tinggi yang kemudian menerjah ke sudut gawang, cukup untuk menewaskan penjaga Peru, Pedro Gallese.

Chile bakal bertemu antara pemenang antara Argentina-Paraguay dalam satu lagi aksi separuh akhir awal pagi esok. – AFP

– http://www.bharian.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");