Isu Panas

Kesihatan Anwar Ibrahim semakin teruk dan membimbangkan

PETALING JAYA: Tahap kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin teruk dan amat membimbangkan, kata peguamnya, R Sivarasa.

Katanya, pasukan peguam antarabangsa Anwar melaporkan kesihatan Ketua Umum PKR itu terjejas kerana beliau dinafikan akses kepada rawatan diperlukan.

“Amatlah penting beliau dipindahkan segera ke tahanan kediaman (house arrest) di mana beliau boleh dibenarkan menemui doktor-doktor beliau sendiri untuk mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Pada 2 Jun 2015, Anwar dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur selama dua hari untuk mendapatkan penilaian kesihatan.

Sivarasa berkata, doktor melaporkan secara lisan bahawa Anwar memerlukan penilaian dan rawatan lebih lanjut berkaitan beberapa isu kesihatan termasuk tekanan darah yang tidak menentu, ketumbuhan 4 cm di buah pinggang yang memerlukan CT scan, gastritis yang memerlukan diet tanpa gluten, dan otot bahu yang koyak serta artritis kronik yang memerlukan fisioterapi intensif.

“Anwar juga telah kehilangan berat badan enam kg sejak beliau dipenjarakan,” katanya.

Sivarasa berkata, pihak penjara masih belum menerima sebarang laporan kesihatan (medical report) dari pihak hospital yang meminta ujian lanjut dilakukan terhadap Anwar.

Bagaimanapun, katanya, pihak penjara tiada kemudahan untuk ujian atau rawatan bagi keadaan kesihatan Anwar ketika ini.

Anwar ditempatkan dalam kurungan bersendirian dalam satu sel kosong, dengan baldi untuk mandi, tandas cangkung, dan dalam keadaan panas dan lembap dengan pengudaraan minimum yang memburukkan lagi masalah-masalah kesihatan beliau.

Tambahan pula, beliau jarang dibenarkan bertemu keluarga di penjara, walaupun doktor telah mengsyorkan agar Anwar dibenarkan bertemu keluarga setiap minggu.

“Kezaliman yang dikenakan terhadap saudara Anwar berterusan,” kata Sivarasa lagi.

Anwar dihukum penjara lima tahun pada 10 Februari lalu selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Amnesty International menganggap Anwar sebagai seorang tahanan politik (prisoner of conscience) kerana keputusan mahkamah tersebut adalah “penghakiman yang amat buruk dan hanya merupakan lembaran terbaru dalam usaha pihak kerajaan Malaysia untuk mendiamkan pengkritik kerajaan.-freemalaysiatoday

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");