Sukan Hari Ini

Liga Hoki Dunia: Impian Haziq, harapan negara

ANTWERP, Belgium: Selepas menyumbat dua gol, Muhammad Haziq Samsul berharap dapat menambah koleksi jaringannya ketika menentang India dalam pertembungan suku akhir Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Stadium KHC Dragons, jam 12 tengah malam ini.

Malah semangat penyerang muda berusia 21 tahun itu ternyata membuak-buak untuk merobek gawang India kerana kemenangan ke atas pasukan di ranking kesembilan dunia berkenaan akan mencerahkan peluangnya dan rakan sepasukan beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

“Sudah tentu jika ada peluang terhidang untuk menjaringkan gol pada pertemuan itu, saya tidak akan lepaskan.

Aksi menentang India penting kerana kemenangan akan mencerahkan peluang kami ke Rio.

“Lagipun menjadi cita-cita saya sejak kecil beraksi di pentas temasya terulung dunia itu,” kata Muhammad Haziq yang kehilangan ibunya, Nor Safwah Abdul Wahab akibat masalah paru-paru pada 21 Mei lalu.

Berdasarkan rekod empat perlawanan Kumpulan B, kapten skuad Projek 2016 itu sudah meledak dua gol – satu gol ketika skuad negara menewaskan China 3-2 dalam aksi pembukaan kumpulan dan satu lagi ketika tewas kepada Great Britain, pasukan di ranking kelima dunia 3-1, kelmarin.

“Saya pernah beraksi menentang India dalam Piala Sultan Azlan Shah April lalu dan saya menjaringkan satu gol bagi membantu skuad negara menang 3-2 dalam aksi berkenaan.

“Saya harap mampu mengulanginya sekali lagi Khamis ini,” kata Haziq yang akan tampil dalam aksi ke-22 bersama skuad negara pada pertembungan menentang anak buah Paul Van Ass itu yang sudah mengesahkan tempat ke Rio susulan kejayaan memenangi pingat emas di Sukan Asia 2014.

Apa pun hanya tiga pasukan teratas dalam kejohanan ini layak secara automatik beraksi di Rio tetapi jika Haziq dan rakan sepasukan menewaskan India dan mara ke separuh akhir, ia sudah meletakkan mereka sebelah kaki beraksi di temasya itu.

Ini kerana terdapat beberapa lagi kejohanan benua yang turut menjadi kempen kelayakan ke Rio sekali gus akan menyaksikan berlaku pertindihan pemenang dengan pasukan yang sudah layak ke Rio.

Ia sekali gus membuka peluang cerah buat skuad negara kerana kemaraan ke separuh akhir menjadikan mereka sebagai pasukan simpanan pertama untuk beraksi di temasya itu yang akan menampilkan 12 pasukan bertanding.

– http://www.bharian.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");