Berita Hari Ini

Banyak manfaat menabung dengan SSPN-i Plus

KUALA LUMPUR – Peribahasa “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit” memang jarang kita dengar pada zaman sekarang.

Pesanan agar berjimat-cermat juga jarang lagi terdengar dititipkan kepada kanak-kanak sedangkan sepatutnya “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”.

Hakikatnya, tabiat menabung bukanlah sesuatu yang mudah dipupuk jika tidak dilatih sejak awal atau tidak didisiplinkan secara ‘terpaksa’ melalui pemotongan gaji dan seumpamanya.

Menyedari hakikat itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukan sahaja mewujudkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) pada 2004, malah turut memperkenalkan SSPN-i Plus pada bulan lepas bagi menambah manfaat untuk para pendepositnya. Perlu diingat, mulai 1 Jan, 2012, PTPTN mewajibkan pemohon pinjaman pendidikan supaya membuka akaun SSPN-i.

Dengan skim baru melalui tabungan bulanan SSPN-i Plus, pendeposit boleh menggunakan wang tersebut untuk membiayai pendidikan anak mereka pada masa depan.

Mereka hanya perlu membuat pinjaman untuk sejumlah kecil bagi mencukupkan kerperluan pembiayaan pendidikan. Justeru, dapat meminimumkan jumlah hutang yang tertanggung, sekaligus mengurangkan risiko kegagalan membayar hutang.

Budaya menabung rendah

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, kedua-dua instrumen tersebut adalah perlu memandangkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat Malaysia masih di tahap rendah.

“SSPN-i Plus adalah nilai tamb ah kepada SSPN-i iaitu perlindungan takaful yang lebih komprehensif,” ujarnya

“SSPN-i dan SSPN-i Plus adalah skim simpanan yang direka khas untuk tujuan perancangan kewangan bagi pendidikan tinggi. Simpanan dalam SSPN-i dan SSPN-i Plus adalah produk patuh syariah yang menggunakan konsep Wakalah Bil Istithmar dan mendapat pengesahan syariah oleh Islamic Banking and Financial Institution of Malaysia (IBFIM),” jelasnya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Kedua-dua produk itu, kata beliau mempunyai keistimewaan tersendiri dan penabungan melalui kedua-duanya boleh dimulakan seawal anak berumur satu hari.

SSPN-i Plus yang dilancarkan Jun lepas menawarkan lima pakej simpanan serendah RM50 sebulan dan maksimum RM500 sebulan bergantung kepada kemampuan pendeposit melalui pakej-pakej Delima (RM50), Topas (RM100), Zamrud (RM200), Nilam (RM300) dan Berlian (RM500).

Perlindungan 36 penyakit kritikal

Jelas Mastura, setiap pakej itu dibahagikan kepada dua komponen iaitu simpanan SSPN-i dan sumbangan takaful.

“Sebagai contoh, pakej delima iaitu RM50 merangkumi simpanan SSPN-I berjumlah RM40 dan sumbangan takaful RM10.
Pendeposit akan mendapat manfaat takaful paling rendah iaitu RM40,000 bagi kes kematian atau ilat kekal kerana kemalangan, perlindungan kepada 36 jenis penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital dan khairat kematian bergantung kepada pakej yang diambil,” katanya.

Jumlah pendeposit SSPN-i sehingga 30 April 2015 adalah lebih 2.2 juta akaun dengan deposit sebanyak RM1.6 bilion. Bagaimanapun data mengenai SSPN-I Plus tidak diperoleh kerana baru dilancarkan.

“Pendeposit SSPN-i tidak aktif, bermakna mereka buka akaun serendah RM20 dan kemudiannya tidak aktif lagi atau pun mengaktifkan dan mengemas kini akaun setahun sekali atau masa nak dapat pelepasan cukai sahaja,” katanya.

Berbeza dengan SSPN-i, pendeposit SSPN-i Plus perlu aktif menyimpan secara bulanan sama ada menerusi potongan gaji, kaunter PTPTN atau bank-bank terpilih yang menjadi agen PTPTN seperti Maybank, RHB Bank, Agrobank, CIMB, Bank Islam dan Bank Rakyat.

Tidak perlu saringan penyakit

Selain itu, katanya pendeposit SSPN-i dan SSPN-i Plus juga layak menerima dividen hasil caruman mereka dan paling tinggi dividen diberikan PTPTN ialah sekitar 4.25 peratus pada 2013 dan 2014.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa pendeposit SSPN-i Plus tidak perlu melalui saringan kesihatan untuk melayakkan mereka menerima manfaat takaful yang disediakan dalam pakej-pakej yang ditawarkan.

Bagaimanapun, menurut Mastura, bagi pakej Berlian, pendeposit perlu menjawab tiga soalan kesihatan.

“Bagi polisi insurans lain, jika anda ada penyakit sebelum diinsuranskan maka penyakit itu tidak akan dilindungi, atau anda perlu membayar premium yang lebih tinggi.

“Tapi menerusi pakej SSPN-i Plus, pendeposit tidak perlu saringan dan bagi penyakit sedia ada, pendeposit perlu tunggu 12 bulan untuk mendapat manfaatnya,” katanya sambil menambah bahawa pendeposit SSPN-i Plus akan mendapat manafaat lebih besar daripada SSPN-i.

Beliau berkata sekiranya terjadi sesuatu kepada pendeposit SSPN-i Plus, ia boleh dituntut oleh waris dengan mengisi borang yang disediakan dengan disertakan dokumen-dokumen saperti sijil mati dan permit perkuburan kepada PTPTN, yang akan dihantar ke syarikat takaful.

Galakkan tabungan regular

Mastura berkata kesemua pakej yang ditawarkan termasuk khairat kematian yang melindungi pendeposit, pasangannya dan anak-anak dengan maksimum tiga orang.

“Jika syarikat insurans lain hanya memberikan manfaat kepada orang yang diinsuranskan, pakej PTPTN tidak terhad begitu. Bagi pakej berlian, waris pendeposit boleh mendapat manfaat takaful berjumlah RM1 juta sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan dan RM500,000 akibat kematian biasa (sebab penyakit).

“Kita sebenarnya nak galakkan ibu bapa membuat tabungan yang regular, sebab itu kita tawarkan SSPN-i Plus kerana Plus ini memerlukan pendeposit membuat simpanan secara bulanan,” katanya.

Beliau berkata pendeposit juga boleh menutup akaun pada bila-bila masa sama ada akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus.

“Cuma bagi pengeluaran duit SSPN-i Plus, pendeposit perlu menunggu sehingga tiga tahun dengan baki RM1,000 kerana kita anggap akaun sudah matang,” tambahnya.

Bagi menarik minat orang ramai untuk menabung di SSPN-i dan SSPN-i Plus, PTPTN turut mengadakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah kepada pendepositnya berupa apartment bernilai RM500,000, kereta BMW 320i, Honda HR-V, Proton Iriz, motorsikal dan telefon bimbit, yang keseluruhan berjumlah RM3 juta untuk cabutan tahunan dan suku tahun.

Mulai 1 Januari 2012, mereka yang ingin memohon pembiayaan pendidikan diwajibkan mempunyai akaun SSPN-i.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");