Jenayah

Bayi Cacat Digoncang

Petaling Jaya: “Saya melahirkan anak saya sempurna, namun kecewa disebabkan kejadian dia digoncang kuat oleh wanita (tertuduh) itu, dia kini cacat,” kata seorang ibu berusia 32 tahun di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Kerani itu berkata demikian sambil menangis teresak-esak ketika memberikan keterangan impak mangsa (VIS) di depan Majistret Nazri Omran.

Menurut wanita yang mempunyai tiga anak itu, anak bongsunya mengalami sawan setiap malam dan mata kanannya rosak teruk akibat kejadian berkenaan.

“Akibat perbuatan tertuduh, anak saya takut dengan orang lain dan dunia luar serta menangis setiap malam. Malah, kami tidak boleh pergi ke mana-mana disebabkan perlakuannya itu,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Nurul Shahidatul Afzan Zainal, 32, pemilik taska yang didapati bersalah menggoncang kuat seorang bayi perempuan berusia tiga bulan sehingga menyebabkan pendarahan dalam otak dan mata mangsa di pusat jagaan di USJ1/4P, di sini, tiga tahun lalu.

Nazri membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan memerintahkan hukuman bermula semalam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar pampasan RM40,000 kepada ibu atau bapa mangsa atau penjara 12 bulan lagi jika wanita itu gagal membayar denda.

Nurul Shahidatul yang memakai baju kurung biru dan bertudung hitam tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 5.23 petang pada 24 Februari 2012.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang mewakili tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guamnya kerana wanita itu mempunyai rekod cemerlang tujuh tahun mengendalikan taska berikutan tiada kes jenayah.

“Anak guam saya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan memberikan kerjasama baik sepanjang perbicaraan,” katanya.

Mahkamah membenarkan permohonan tertuduh menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan kes selesai namun menolak permohonan pelaksanaan bayaran pampasan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");