Sukan Hari Ini

Detik getir Kedah

Alor Setar: Ketua jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe menganggap pertemuan menentang T- Team di Kuala Terengganu malam ini adalah perlawanan paling getir dan akan menunjukkan hala tuju Helang Merah memburu gelaran Liga Perdana, sekaligus layak ke Liga Super musim depan.

Menurutnya, perlawanan itu amat penting bagi Kedah memimpin kedudukan liga buat pertama kali dan ianya hanya menjadi kenyataan jika berjaya mencuri mata penuh nanti.

“T-Team bukanlah lawan mudah untuk dijinakkan walaupun mereka akan beraksi tanpa penyerang utama Farhod Tadjiyev yang terpaksa menjalani hukuman gantung satu perlawanan.

“Sama ada Farhod beraksi ataupun tidak, T-Team telah membuktikan keupayaan mereka sepanjang 14 perlawanan lalu menguasai liga dan mereka memiliki kemampuan untuk mengecewakan Kedah.

“Namun, saya yakin dengan kemampuan anak buah saya dan apa yang mereka mampu lakukan. Saya harap semua pemain beraksi dengan keupayaan sebenar seperti dibuktikan ketika mengatasi JDT II dan Sabah di gelanggang lawan,” kata Cheng Hoe.

Beliau lega kerana mampu membariskan empat pemain import Bang Seung Hwan, Liridin Krasniqi, Chidi Edeh dan Sandro Da Silva apabila terpaksa mengeluarkan Seung Hwan pada separuh masa kedua ketika bertemu Kuala Lumpur Spa di Stadium Darulaman Jumaat lalu kerana kecederaan paha.

“Semua pemain tahu apa yang perlu mereka lakukan jika berhasrat untuk menduduki di tangga teratas liga. Saya lihat semangat juang mereka begitu tinggi menjadikan ia kenyataan.

“Saya yakin Liridon mampu memastikan kita meraih mata penuh kalau dia dapat beraksi seperti tiga perlawanan lalu kerana bukan sahaja dia berjaya mengemudi bahagian tengah dengan cemerlang, malah mencatatkan nama sebagai penjaring dua gol dalam tiga perlawanan lalu,” katanya.

Cheng Hoe menegaskan dia akan memastikan bahagian pertahanan lebih mantap untuk menghalang setiap asakan tuan rumah sepanjang 90 minit perlawanan.

– harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");