Membawang Hari Ini

Haiza penat tapi berbaloi

Ada segelintir artis memilih untuk berehat sepanjang Ramadan. Namun masih ramai yang berkesempatan mencari rezeki dengan menghiburkan pengunjung dalam majlis berbuka puasa di hotel.

Antaranya, penyanyi Haiza, 35, tidak kisah berulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur setiap minggu bagi memenuhi undangan menyanyi di sebuah hotel di Subang Jaya.

Haiza yang kini bertugas sebagai penyampai radio Best FM di Johor Bahru akan ke Kuala Lumpur mengadakan persembahan bersama Jaafar Onn setiap Jumaat dan Sabtu di hotel berkenaan.

“Saya bersama Zairi ke udara menerusi segmen Best Pagi dari Isnin hingga Jumaat jam enam hingga 10 pagi. Gabungan kami dinamakan Aizairi. Syukur kerana jadual bekerja sepanjang Ramadan ada kelonggaran.

“Sebelum ini saya banyak bekerja lebih masa, jadi pengurusan memberi kelonggaran bercuti ganti hari Jumaat. Tempat saya akan digantikan dengan penyampai lain.

“Kesempatan ini dimanfaatkan saya untuk menyanyi di hotel ini. Kalau ikutkan memang penat, tapi saya seronok menyanyi di sini kerana sudah kenal dengan pe–ngurusan serta pengunjung yang datang,” katanya.

Haiza berkata, diikutkan pengurusan mahukan dia menyanyi setiap hari di sana, namun mustahil untuk dia berbuat demikian kerana mempunyai komitmen dengan Best FM.

“Hari-hari lain tempat saya digantikan dengan penyanyi Maya Ruslee yang bergandingan dengan Jaafar Onn. Dia juga seorang penyanyi hebat dan mampu menghiburkan pengunjung dengan cara sendiri,” katanya.

Menurut Haiza, kebetulan pula suaminya, Norhanapfe Omar tidak dapat bertemunya seperti biasa setiap hujung minggu di Johor Bahru, ini masa untuk mereka berbuka bersama.

“Sekarang dia sibuk dengan tugasnya sebagai penolong jurulatih pasukan hoki Sapura di Kuala Lumpur. Pertandingan liga hoki tempatan akan bermula membuatkan latihan giat berlangsung tanpa mengira hari.

“Jadi kesempatan ini digunakan untuk kami bertemu menghabiskan masa dan berbuka bersama. Allah sudah aturkan perancangan cantik untuk kami,” katanya.

Dalam pada itu, Haiza merancang untuk mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak yatim serta wakil media di Johor Bahru, Khamis ini.

“Saya akan meraikan anak-anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim Syafa, Kampung Pasir. Mereka agak terpinggir daripada perhatian ramai pihak sebelum ini.

“Saya akan menjemput pasangan duet saya menerusi lagu hari raya berjudul Ini Baru Raya, Fazli Zainal bagi memeriahkan majlis.

“Turut sama bersetuju hadir ialah Ronnie Hyper Act. Saya juga nak gunakan peluang ini untuk menjemput bekas ang­gota kumpulan nasyid Al-Jawaher, Habibah bagi memeriahkan majlis,” katanya.

Belanja berhemah

Menyentuh persiapan untuk Aidilfitri, Haiza belum melakukannya lagi dan belum berbincang dengan suaminya.

“Jadual begitu padat sehinggakan kami tak sempat berbual berkenaan perkara ini. Saya bercadang biar persiapan hanya sederhana. Keterujaan menyambut raya hanya tertumpu untuk persediaan anak kami, Nur Iman Shafi’e, 3.

“Persediaan untuk menghias rumah di Kuala Lumpur pun tak perlu sangat kerana kami akan meraikan Aidilfitri di kampung,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");