Membawang Hari Ini

Hati Ali tersentuh di Sabah

Satu ketika dulu Ali kerap menjelajah hingga ke kawasan pedalaman Sabah menghiburkan penonton menerusi lagu nyanyiannya.

Sama ada ketika bersama Terra Rossa, XPDC atau solo, kehadiran Ali memang dinanti-nantikan peminat setianya di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Namun, situasi kini berbeza. Kunjungan Ali ke Sabah kali ini bertujuan menjayakan misi dakwah selain mendapatkan keredaan Ilahi.

Baru-baru ini,penyanyi dengan nama sebenar Mohd Ali Ismail ini menjayakan program Sekampit Beras Segunung Harapan 2015 Siri 2 anjuran PETRONAS Wilayah Sabah dengan kerjasama Surau Al-Muhsinin, KLCC.

Pengalaman dan pelbagai situasi dilalui membuatkan Ali semakin bersemangat untuk menjayakan misi amal seterusnya.
“Di sana kami menghulurkan bantuan berupa keperluan harian seperti beras, minyak masak dan pelbagai lagi untuk penduduk di Kampung Salimandut, Kampung Kuranji dan Kampung Parung di Kota Marudu.

“Selain itu, bantuan turut dihulurkan kepada penduduk Kampung Pinapak, Kampung Perupuk dan Kampung Sinanggip di Pitas. Kami turut bergerak memberikan sumbangan kepada penduduk di Kudat,” katanya.

Ali berkata, mereka menyasarkan golongan asnaf mualaf, fakir miskin, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan banyak lagi. Barangan lain juga turut diberikan seperti pakaian, buku panduan solat dan al-Quran hasil wakaf kakitangan PETRONAS menerusi projek wakaf yang digerakkan tahun lalu,” katanya.

Ali berkata, dia dijemput menyertai program ini oleh badan bukan kerajaan (NGO) Islamik di Sabah dan peluang itu sukar ditolak.

“Mereka ajak kerana tahu saya sudah berhijrah. Di mana-mana pun, jika ada pembabitan artis orang akan lebih teruja untuk ambil tahu dan terbabit sama. Malah, pengerusi program dalam ucapannya tak henti-henti memuji dan melahirkan penghargaan mereka kepada saya.

“Saya dapat lihat mereka ikut karier saya dari dulu sampai sekarang. Sambutan yang diterima di sesuatu lokasi sangat meriah dan mereka jadikan saya ikon. Di samping berikan bantuan, saya juga buat persembahan untuk menghiburkan mereka,” terangnya.

Baiki surau di Ranau

Sebelum ini Ali pernah menjayakan program dakwah bersama Sabah Care pada tahun lalu.

“Pengalaman bersama mereka amat memberi kesan buat saya kerana kami berjaya memperbaiki semula surau yang sudah lama ditinggalkan di Kampung Nalapan, Ranau. Kami jumpa surau ini ketika menjayakan Misi Raya Korban.

“Pengerusi dan ahli jawatankuasa surau sudah meninggalkan agama Islam membuatkan kami terpaksa menubuhkan misi menyelamat surau itu pula. Sabah Care pula tiada sumber kewangan tetap.

“Untuk mencari dana, kami buat persembahan di pasar tani. Alhamdulillah surau ini sudah siap dan sudah digunakan sepanjang Ramadan dan solat Aidilfitri lalu. Perasaan gembira saya sukar nak digambarkan.

“Sabah Care juga ambil 35 pemuda lulusan tahfiz sebagai imam solat Tarawih serta menjalankan misi dakwah di Sabah. Apa yang dilalui sememangnya membuatkan saya bermuhasabah,” katanya.

Ali berkata, apa yang dilakukan bukan bertujuan mencari glamour, malah perasaannya sangat tersentuh sepanjang berada di sana.

“Saya simpati kerana masyarakat Islam di sana agak tertinggal daripada segi pembangunan dan aspek dakwah sedangkan mereka dahagakan semua itu. Saya pernah terserempak dengan bekas penyanyi Raihan, Nazrey Johani yang anjurkan misi serupa dan dia minta pendakwah dari Semenanjung membantu,” katanya.

Menurut Ali, dia akan ke Sabah setiap bulan untuk memantau apa yang boleh dibantu.
Selepas ini mereka akan mengadakan Misi Raya Korban pula.

“Ini perlu kerana ada dalam kalangan mereka masih tak memahami konsep korban,” katanya.

Belum pasti kembali kepada XPDC

Ali masih rancak diundang menjayakan persembahan terutama berkonsepkan dakwah.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas spekulasi akan kembali bersama XPDC.

“Biar Allah SWT yang tentukan semuanya. Kalau ada rezeki, saya akan kembali bersama mereka dan kalau tiada pun, saya tak kisah. Sekiranya dipelawa, saya anggap ia satu penghargaan dan akan pertimbangkan sebaik mungkin.

“Itu juga satu cara untuk misi saya kembangkan dakwah. Cuma, tak pastilah sama ada anggota XPDC sendiri atau peminat boleh terima,” katanya.

Ali berkata, dia juga ditawarkan untuk berduet dengan penyanyi Indonesia.

“Dia bekas anggota kumpulan rock popular di sana yang kini melakukan penghijrahan dalam hidupnya. Sekira projek ini jadi kenyataan, baru saya berani bercerita lanjut,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");