Jenayah

Isteri dipukul dengan tabung buluh

KOTA BHARU – Padah terlalu garang memukul isteri dengan tabung buluh hingga terbelah dua, seorang buruh dijel empat bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohamad Syafiq Roslan, 28, dihukum oleh Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin selepas tertuduh mengaku bersalah.

Buruh berkenaan didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera kepada Nurul Shahida Muda, 26, dengan tabung itu di alamat Kampung Sokor, Kok Lanas, Ketereh, di sini, pada jam 10.10 malam, 28 Mac lalu.

Ketika itu, pengadu berada di rumah dan suaminya marah-marah serta meminta telefon bimbit pengadu. Puncanya, pengadu membeli telefon itu tanpa pengetahuan suaminya. Tertuduh menyepak dan memukul pengadu dengan kaki dan tangan.

Tertuduh juga menghalau pengadu keluar dari rumah dan ketika pengadu tarik tangan anak, tertuduh mengambil tabung buluh yang ada di ruang tamu dan memukul di kepala pengadu. Akibatnya, pengadu mengalami sakit lengan kiri, belakang, bengkak dan lebam pada
bahagian kepala.

Pengadu bertindak membuat laporan polis, bagaimanapun dia sendiri hadir ke mahkamah semalam dan mengaku di hadapan Mohd Firdaus bahawa dia sudah memaafkan perbuatan suaminya itu.

Pun begitu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kes keganasan rumah tangga yang semakin berleluasa.

“Benar isteri adalah hak suami, namun di dalam Islam itu sendiri sudah menggariskan tatacara untuk mengajar serta mendidik isteri dan bukan seperti cara tertuduh. Saya harap hukuman ini akan memberi pengajaran kepadanya supaya tidak mengulangi lagi pada masa depan,” katanya.

Mohd Firdaus dalam keputusannya turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");