Jenayah

Jerry Black Dituduh Samun, Cabul Mangsa

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang mendapat jolokan gelaran Jerry Black dan dikatakan aktif merompak serta kemudiannya berjoli di sempadan negara akhirnya dihadapkan ke mahkamah sesyen, di sini, semalam.

Penganggur berkenaan atau nama sebenarnya, Mohd Azri Md Zain, 31, didakwa pada dua tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan bersenjata serta turut berdepan tuduhan mencabul mangsa pada salah satu daripada kejadian itu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus dan kesnya ditangguhkan 27 Ogos depan untuk serahan dokumen serta pelantikan peguam. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mariah Omar dan Nordalina Ali.

Dia didakwa pada tuduhan bersama seorang lagi yang masih bebas, merompak dua komputer riba; masing-masing dua rantai, subang dan gelang tangan emas; tiga jam tangan berjenama, sebuah telefon pintar dan beg duit mengandungi pelbagai kad serta wang tunai RM30.

Kesalahan dilakukan terhadap Harithsa Afiq Mohd Zainuri,19. Tertuduh bersenjatakan pedang samurai dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Permai Demit, Jalan Sultanah Zainab II, Kubang Kerian, di sini, pada jam 11.15 pagi, 27 Mei lalu.

Sementara pada satu lagi tuduhan lain, tertuduh didakwa bersama dua lagi yang masih bebas merompak sebuah komputer riba; masing-masing dua rantai, subang dan gelang emas; tiga loket emas; empat cincin dan wang tunai RM2,200 serta kad pengenalan diri yang keseluruhannya bernilai RM8,000.

Kejadian berlaku terhadap seorang wanita berusia 25 tahun di rumahnya di Taman Tengku Rothaudeen, Melor, di sini, pada jam 3.30 pagi, 10 Mei lalu. Semasa rompakan itu, tertuduh bersenjatakan parang dan juga didakwa mencabul mangsa.

Jerry Black ditahan hasil maklumat awam oleh Unit Task Force, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan berhampiran Masjid Padang Enggang sejurus dilihat dalam keadaan mencurigakan sedang memandu kenderaan pelbagai guna jenis CR-V dan meronda-ronda di
kawasan perumahan di sana.

Lelaki yang dikatakan ganas itu menggunakan modus operandi dengan mencuri kereta sebelum menggunakannya untuk kegiatan jenayah pecah masuk ke rumah mangsa di sekitar Kubang Kerian dan Kota Bharu.

Dia yang berasal dari Kubang Kerian tersebut fasih dengan selok-belok di kawasan kampungnya itu. Setakat ini, polis mengesan tujuh kes jenayah pecah rumah dan rompakan yang dilakukan di kawasan tersebut. Turut dipercayai membabitkan rompakan beberapa kediaman
doktor serta pegawai hospital.

Selepas merompak, suspek bersama tiga lagi ahli kumpulannya akan menaiki sampan di Pengkalan Haram ke Golok untuk bersuka-ria. Apabila kehabisan wang mereka akan balik semula serta merompak lagi dan begitulah seterusnya selama setahun sebelum berjaya diberkas.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");