Jenayah

‘Kumpulan Pak Din Canai’ tumpas

KANGAR – Polis Perlis percaya dapat melumpuhkan satu kumpulan pecah rumah dikenali dengan nama ‘Kumpulan Pak Din Canai’ dengan tertangkapnya seorang anggota kumpulan itu baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, empat lagi anggota kumpulan itu berumur 24 hingga 34 tahun termasuk seorang wanita dan ketuanya dipercayai anak kepada seorang peniaga roti canai, sedang diburu.

Beliau berkata, wanita yang menganggotai kumpulan itu berumur 24 tahun dan mereka dipercayai terbabit dalam enam kes pecah rumah di Perlis dan dua kes di Kedah.

“Kumpulan ini menyewa kereta untuk melakukan jenayah pecah rumah pada waktu siang sejak tahun lepas semasa pemiliknya tiada di rumah,” kata Shafie kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya anggota kumpulan itu yang diberkas dalam Ops Pintu di Simpang Empat, dekat sini pada 26 Jun lepas ialah penduduk tempatan berumur 32 tahun dan seorang penagih dadah.

Barang-barang curi bernilai lebih RM20,000 seperti kamera, telefon bimbit, batu cincin, jam tangan, komputer riba, perakam suara, pam air dan wang tunai ditemui daripada lelaki itu, kata Shafie.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Perlis mencatatkan 353 kes jenayah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan daripada jumlah itu, 173 kes atau 49 peratus adalah curi motosikal dan bakinya pecah rumah dan mencuri.

Shafie berkata, kelalaian pemilik motosikal seperti tidak mengenakan kunci tambahan, tidak mengunci motosikal atau meninggalkan kunci pada motosikal adalah faktor utama punca motosikal mereka mudah dicuri.

Menurutnya dalam bulan Ramadan ini sahaja sembilan buah motosikal dilaporkan dicuri, tiga daripadanya hilang di masjid dan enam lagi di pasar Ramadan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak bermain mercun kerana menyalahi seksyen 6 dan 8 Akta Bahan Letupan dan pesalah boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang tahun ini lima orang ditahan dalam tiga kes di Kaki Bukit dan Padang Besar di bawah akta itu. Mereka mengaku bersalah di mahkamah dan masing-masing didenda RM1,500 hingga RM2,000, katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");