Sukan Hari Ini

Mubin tagih aksi mantap setiap pemain

Kuala Lumpur: Penyingkiran ketua pasukan, Muslim Ahmad daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seharusnya menjadi amaran dan peringatan kepada pemain lain supaya sentiasa memberikan prestasi terbaik atau menerima nasib sama dengan pertahanan kebangsaan itu.

Pengurus PDRM Mubin Mokhtar berkata, tindakan ke atas Muslim diharap dapat membuka mata pemain lain agar tidak mengambil mudah komitmen masing-masing selain membuktikan pengurusan pasukan serius dalam usaha memastikan mereka mampu menjadi antara pencabar Liga Super.

“Saya harap pemain lain ambil iktibar dan buka mata. Kalau tidak beri komitmen, sambil lewa dan gagal berada pada tahap prestasi terbaik, mereka juga akan ditunjukkan jalan keluar, tidak kira siapa anda.

“Kami menyertai Liga Super bukan untuk melengkapkan pasukan tapi bercita-cita menjadi antara pasukan terbaik. Sebab itu kami sanggup berbelanja besar bagi membentuk pasukan mantap.

Jangan fikir kerana bermain dengan PDRM, mereka boleh bermain sambil lewa.

“Mereka dibayar gaji tinggi untuk meningkatkan taraf bola sepak PDRM, jadi sepatutnya mereka membalas dengan prestasi terbaik,” kata Mubin.

Menurut Mubin, banyak pihak terkejut dengan tindakan The Cops menamatkan kontrak Muslim yang dianggap sebagai drastik kerana pemain itu bukan saja ketua pasukan malah antara tonggak bertanggungjawab membantu PDRM menjuarai Liga Perdana musim lalu.

Apatah lagi, Muslim antara pemain kebangsaan yang kerap mendapat kepercayaan jurulatih Dollah Salleh dalam mengemudi benteng pertahanan Harimau Malaya.

“Ramai anggap tindakan itu drastik tapi tidak bagi saya. Kami menamatkan kontrak Muslim selepas menilai prestasinya sepanjang musim ini. Malah, kami sudah beberapa kali memberi teguran kepadanya dan meminta dia meningkatkan prestasi tapi tidak ada perubahan,” katanya.

Selain Muslim, turut menerima musibah akibat prestasi hambar PDRM kebelakangan ini, ketua jurulatih Azman Adnan dan pemain tengah Nurul Azwan Roya.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");