Membawang Hari Ini

Nad Zainal kagumi bakat Remy Ishak

KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini pernah bertebaran gosip mengandaikan ada sesuatu yang terjalin antara Nad Zainal dan Remy Ishak ketika sama-sama membintangi drama Antidot yang pernah disiarkan di TV3.

Bagaimanapun ia berlalu begitu sahaja dan selepas drama itu mereka kembali bersatu dalam teater Maduku Kalut Returns.

Teater yang sama pernah dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 2013. Namun untuk pementasan kali kedua ini, teater terbitan Mask Team ini dipersembahkan kepada skala yang lebih besar menggunakan pentas Panggung Sari, Istana Budaya.

Malah beberapa nama pelakon seperti Remy Ishak dan Dafi turut menggantikan pelakon terdahulu seperti Izzue Islam dan Karl Shafek.

Menghubungi Nad Zainal baru-baru ini, beliau tidak melihat gosip sebelum ini mengaitkan dirinya dengan Remy mewujudkan situasi janggal. Baginya setiap tawaran dilunaskan atas paksi profesional.

“Saya dan Remy adalah rakan seperjuangan.

Kami pernah bekerjasama dalam drama Antidot dan dia antara pelakon lelaki yang saya kagumi. Jadi apabila menyentuh soal kerja, ia jadi lebih mudah kerana kami sudah menjadi rakan di dalam dan luar set penggambaran.

“Maka komunikasi itu lebih senang.

Dia juga seorang pelakon yang sangat senang memberikan kerjasama dan komited,” kata Nad.

Ironinya, dunia teater bukan asing bagi pelakon genit yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH) itu.

Jadi tak hairan jika pentas teater menjadi forte atau ‘makanan’ buatnya.

“Teater menjadi pencetus minat saya dalam dunia lakonan. Tak kata juga ia ‘makanan’ saya, namun pengalaman berteater sejak di bangku sekolah banyak membantu saya bila berlakon di pentas teater semula.

“Untuk Maduku Kalut Returns, ia berubah pentas menjadi skala lebih besar. Jadi saya perlu bermain di ruang yang lebih besar.

“Saya selesa dengan watak ini kerana pernah melakonkan sebelum ini. Jadi untuk pementasan kali ini, saya cuba menambah atau adlib apa sahaja yang dirasa sesuai untuk menceriakan lagi karakter dan plot cerita,” katanya.

Teater Maduku Kalut Returns turut menyaksikan Nad beraksi di sisi teman akrabnya seperti Jihan Muse dan Sherry Alhadad.

Apakah dengan berlakon di sisi teman baik menjadikan ia lebih mudah atau dianggap sebagai ancaman kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

“Setiap watak ada bahagian masing-masing dan pelakon yang baik tidak perlu mengancam atau rasa terancam.

“Satu pentas dengan rakan sendiri memberi peluang untuk saya menelusuri watak dengan lebih baik selain berkongsi idea dan mengkritik satu sama lain.

Tiada sebarang unsur makan kawan atas pentas sebaliknya berlakon dengan mereka yang profesional memudahkan lagi rentak kerana tahu memberi serta menerima,” katanya.

Tiket menonton teater ini boleh dibeli secara atas talian menerusi www.airasiaredtix.com dan dijual dengan harga RM35, RM45, RM65, RM85, RM105 dan RM155 (platinum).

Ia akan dipentaskan bermula 7 hingga 9 Ogos ini.

– http://www.bharian.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");