Isu Panas

‘Pas tak mampu jadi parti nasional’

SHAH ALAM – Pas boleh berdiri sendiri sebagai sebuah parti politik tetapi tidak mampu menjadi parti nasional jika mereka bertekad memutuskan hubungan dengan PKR seterusnya keluar dari PR.

Penganalisis politik dari Fakulti Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, sukar untuk Pas menambat hati rakyat di tempat lain tanpa bergabung dalam PR kerana sokongan akar umbi mereka hanya kuat di Kelantan dan Terengganu sahaja.

“Pas boleh bergerak sendiri jika keluar daripada PR, tetapi mereka hanya boleh berpusat di Pantai Timur kerana kita tahu kemenangan Pas di negeri lain bergantung pada gabungan mereka dalam PR.

“Parti yang tak mempunyai gabungan seperti Pas sukar untuk menang di peringkat nasional tetapi mereka masih berpeluang menikmati kemenangan di kawasan pengundi tradisi yang tegar kalau kena pada cara dan strateginya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Pas akan menghadapi pertembungan yang besar dan saingan sengit menjelang pilihan raya mendatang jika mereka memilih untuk menolak menyertai mana-mana gabungan dalam politik.

“Kehadiran Harapan Baru yang mahu membentuk pakatan bersama PKR dan DAP serta BN dengan parti komponennya akan mencetuskan pertembungan yang hebat dalam pilihan raya akan datang.

“Pas mungkin tak mampu bersaing dengan gabungan parti yang ada ini dan mereka akan tewas di peringkat nasional kerana rakyat cenderung memilih PR ataupun BN,” katanya.

Mohd Azizuddin berkata, impak yang sama mungkin akan berlaku terhadap sokongan Pas di Selangor jika mereka benar-benar berhajat keluar dari PR kerana faktor yang melibatkan ekonomi dan politik.

“Kalau di luar bandar mereka mungkin boleh menang kerana Pas bergantung pada sokongan pengundi tradisi.

“Kalau di bandar seperti Selangor ini agak susah kerana pengundi melihat pelbagai faktor seperti kos sara hidup dan suasana politik semasa kerana di sini ramai golongan pertengahan yang terpelajar,” katanya.

Menurutnya, Pas juga mungkin berdepan dengan kesukaran untuk meraih kemenangan kerana terdapat banyak kawasan yang mempunyai pengundi campur berbanding majoriti Melayu.

“Sukar untuk Pas memenangi banyak kerusi tanpa bergabung dengan mana-mana parti. Mereka mungkin berdepan dengan saingan sengit dengan Harapan Baru dan BN jika meletakkan calon di sesebuah kawasan.

“Mereka juga mungkin akan berdepan dengan kekalahan kerana persepsi rakyat Malaysia lebih cenderung memilih parti dalam gabungan berbanding parti yang bergerak sendiri,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");