Sukan Hari Ini

Pegawai FIFA sampai trofi Piala Dunia Wanita diejek

VANCOUVER: Pegawai rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang hadir ke final Piala Dunia Wanita 2015 diejek penonton di stadium sebelum upacara penyampaian hadiah berlangsung pagi tadi.

Amerika Syarikat (AS) menjulang trofi keagungan bola sepak wanita itu selepas mencatat kemenangan 5-2 ke atas penyandang juara, Jepun.

Buat pertama kali, Presiden FIFA, Sepp Blatter tidak menghadiri final dan majlis penyerahan trofi kejuaraan kepada pemenang ketika peminat bola sepak di Amerika Utara jelas tidak senang dengan skandal yang melanda badan induk itu.

Ketika juruhebah di stadium memohon penonton untuk menyambut kehadiran wakil-wakil FIFA ke dalam padang diketuai oleh Naib Presiden, Issa Hayatou yang juga Presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika, mereka disambut dengan laungan ejekan ‘boo’.

Blatter, 79 dalam satu temuramah kepada akhbar Jerman, Welt am Sonntag sebelum ini berkata ketiadaannya buat pertama kali di final Piala Dunia Wanita berkait dengan kebimbangannya atas siasatan mengenai skandal terbabit.

“Saya tidak akan mengambil risiko untuk melakukan kunjungan sehingga semuanya dibersihkan,” katanya. Turut ‘hilang’ daripada majlis terbabit ialah Presiden Kesatuan Bola Sepak Amerika Utara dan Carribean (CONCACAF), Jeffrey Webb sekalipun tuan rumah, Kanada dan finalis, AS adalah ahli gabungan badan induk itu.

Webb ketika ini ditahan di Switzerland dan berdepan tuduhan skandal rasuah bola sepak antarabangsa dan dua hari sebelum perlawanan final berlangsung, dia didakwa atas tuduhan penipuan penjagaan kesihatan di negara kelahirannya, Kepulauan Cayman.

Segala-galanya kemudian bergantung kepada Hayatou yang dianggap sebagai pegawai rasmi FIFA yang paling kanan untuk menyerahkan trofi kemenangan kepada wira AS, Carli Lloyd.

Begitupun, Hayatou turut dituduh menjual undi untuk hak penganjuran Piala Dunia 2022 kepada Qatar oleh bekas pekerja bidaan negara itu, Phaedrea Almajid. – Reuters

– http://www.bharian.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");