Perak Hari Ini

Peniaga Perlu Patuh Skim Kawalan Harga Musim Perayaan

IPOH: Peniaga-peniaga khususnya di negeri Perak perlu patuh kepada Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2015 yang telah dilancarkan dan berkuatkuasa bermula pada hari ini di seluruh negara.

Ia akan bermula pada 7 hingga 23 Julai depan iaitu mengambil masa selama 17 hari sempena perayaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan, tindakan yang sewajarnya akan diambil kepada peniaga yang tidak mematuhi kawalan harga yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Mana-mana yang tidak patuh dengan harga yang telah ditetapkan dan juga hendaklah melabelkan dengan tanda berwarna merah jambu, mereka boleh dikenakan saman dan kompaun,” katanya.

PERAK TODAY 2

Ujar beliau, hasil daripada lawatan yang dilakukan di pasar awam Tanjung Rambutan di sini, rata-rata peniaga menyuarakan rasa tidak puas hati berikutan mereka mendakwa harga barangan yang diperolehi daripada pemborong adalah lebih mahal.

“Apabila kita minta kepada peruncit resit yang dikeluarkan oleh pemborong, tidak ada satu pun yang menunjukkan kepada kita yang mengatakan harga daripada pemborong mahal.

“Pemborong juga mesti meletakkan harga mengikut harga kawalan yang telah ditetapkan oleh kementerian,” tegasnya dalam sidang media selepas melawat Pasar Awam Tanjung Rambutan, di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Pengarah KPDNKK Cawangan Perak, Meor Ismail Meor Akim.

PERAK TODAY 1

Oleh yang demikian, beliau berkata, peniaga haruslah mempunyai etika dalam perniagaan kerana dalam musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi, pihak KPDNKK tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita tidak mahu mana-mana pihak sama ada pemborong ataupun peruncit untuk mengambil kesempatan dalam musim perayaan.

“Kita juga telah menyediakan tempat aduan bagi pengguna di setiap kawasan termasuklah pasar yang mana terdapat kaunter bagi melaporkan sekiranya terdapat peniaga yang menjual barangan kawalan tidak mengikut harga yang telah ditetapkan,” jelas beliau lagi.

PERAK TODAY 6

Peniaga juga katanya lagi, perlu telus dalam melakukan sukatan bagi barangan yang dijual.

“Peniaga perlu memastikan bahawa nilai barangan yang dijual terhadap barangan kawalan itu mengikut sukatan yang sebenar kerana semasa melakukan lawatan sebentar tadi, saya dapati terdapat peniaga yang menggunakan cara yang boleh mengelirukan pengguna,” tegas beliau lagi.

Samsudin turut menasihati agar pengguna untuk lebih bijak membuat perbandingan harga sebelum melakukan pembelian terutamanya pada musim perayaan.

“Pengguna khususnya, pastikan kita mengetahui maklumat yang tepat dimana barang yang dikawal dan ada juga barang yang tidak dikawal serta perlu membuat perbandingan untuk memperolehi harga yang jauh lebih murah.

“Jangan kita hanya merungut dan bising kerana harga mahal atau sebagainya kerana kita sendiri perlu bijak dalam memilih dan gunakan duit kita untuk melakukan pembelian yang lebih murah,” tegas beliau lagi.

PERAK TODAY 7

Dalam pada itu, beliau turut membuat perbandingan bagi beberapa harga barangan yang telah disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2015 dengan tahun lalu.

“Kalau diikutkan, tidak banyak perbezaan dengan Skim Kawalan Harga yang telah dilancarkan pada tahun lalu. Hanya beberapa barangan yang mengalami kenaikan harga.

“Kenaikan harga barangan kawalan ini bergantung kepada beberapa faktor terutamanya cuaca dan kos barangan tersebut,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, beliau telah melawat ke Pasar Awam Tanjung Rambutan dan Pasar Raya Besar Giant dekat Tambun bagi melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2015.

Sebanyak 19 barangan telah disenaraikan antaranya termasuklah ayam, telur ayam, daging lembu, daging kerbau, cili merah, tomato, kelapa, bawang, kubis, ubi kentang dan dua barang baharu dalam senarai Skim Kawalan Harga berkenaan iaitu ikan selayang (bagi seluruh Malaysia) dan ikan tongkol (bagi negeri-negeri di Pantai Timur).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");