Jenayah

Peniaga resah diugut samseng

KUALA LUMPUR – Bayar sewa atau dihalau. Itu ugutan diterima peniaga berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur daripada sekumpulan individu yang mengaku mendapat hak pemilikan tanah bagi sebahagian tapak perniagaan di situ.

Kumpulan berkenaan juga didakwa bertindak seperti samseng apabila memasang pagar dalam tapak perniagaan, meskipun ia adalah hak milik persendirian.

Difahamkan peniaga-peniaga di situ beroperasi dengan menyewa tapak milik Pasar Borong Development Sdn Bhd, namun tindakan kumpulan individu itu menyebabkan timbul rasa kurang senang.

Peniaga barangan kering, Yazi Mohamad, 27, berkata, individu yang mengetuai kumpulan berkenaan menawarkan harga sewaan jauh lebih murah menyebabkan mereka curiga.

Menurutnya, individu itu mengaku telah mendapat kelulusan pemilikan tapak rizab TNB yang tidak digunakan, namun gagal mengemukakan bukti bersurat.

“Dia datang paksa kami tandatangan surat sewa dengan mereka iaitu RM5,000 sebulan. Tapi bila kami minta pengesahan, dia tunjuk pelan sahaja.

“Mereka kemudian datang memagar dalam kawasan menyebabkan kami rasa tak tenteram,” katanya.

Peniaga kereta terpakai, Mohd Fakhrul Nizam Mat Rifim, 41, pula berkata, hal itu berlaku berhampiran tapak perniagaannya.

Katanya, kumpulan berkenaan bertindak memagar kawasan dan akan menutup laluan sehingga aliran trafik terjejas.

“Perkara ini perlu diselesaikan segera kerana pihak ini mengambil tindakan sewenang-wenangnya walaupun belum ada kelulusan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam, Parti Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong berkata, kumpulan yang diketuai seorang lelaki itu mendakwa mendapat kelulusan dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Lelaki ini cuba menipu apabila kata sudah dapat kelulusan dan kedua, dia telah mencerobohi tanah persendirian.

“Jadi kita minta siasat dan saya akan tulis surat kepada Ketua Polis Daerah Sentul untuk tindakan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");