Sukan Hari Ini

Penuhi impian rakyat Malaysia

SEKILAS pandang, Hafizh Syahrin Abdullah nampak seperti pemuda berusia 21 tahun yang lain. Namun, pada kaca mata peminat permotoran, anak kelahiran Ampang, Selangor ini adalah seorang bintang lumba motosikal.

Pada tahun 2014, Hafizh menyempurnakan Kejohanan Dunia Moto2 sulungnya dan pada Moto2 musim ini, dia berjaya memungut mata hampir dalam setiap perlumbaan. Hafizh kini berada di kedudukan ke-13 dengan pungutan 34 mata.

Pemuda yang dilahirkan pada 5 Mei 1994 dan mempunyai ketinggian 179 sentimeter mula menyedari dirinya ditakdirkan untuk menceburi dunia perlumbaan motosikal sejak berusia lapan tahun lagi.

Walaupun pada mulanya, minatnya itu mendapat tentangan daripada bapanya, Hafizh tetap dengan pendiriannya dan berusaha mengejar impiannya untuk berlumba semasa dia berjinak-jinak dengan Litar Lumba Bukit Jalil.

“Ayah memang berang apabila tahu saya melibatkan diri dalam perlumbaan motosikal mini tanpa pengetahuannya. Bayangkan betapa terkejutnya saya apabila ayah belikan saya motosikal mini. Sehingga hari ini, itulah hadiah terbaik yang pernah saya terima dan itulah permulaannya bagi saya,” ujar Hafizh.

Sebelum bergelar pelumba profesional, Hafizh mengasah bakatnya melalui perlumbaan motosikal mini. Dengan sokongan bapanya, Hafizh menyertai hampir semua perlumbaan motosikal mini. Oleh sebab kehebatannya di litar perlumbaan, dia pernah digelar “Raja Motosikal Mini”.

Tidak lama kemudian, bakatnya menarik perhatian Barry Leong, pengurus pasukan Petronas Sprinta Yamaha Raceline, yang pada ketika itu melihat bakat dan kesungguhan Hafizh. Tanpa membuang masa, Barry segera mengambilnya sebagai anak didik, lalu bermulalah perjalanan Hafizh untuk bersaing dengan pelumba profesional.

“Waktu itu adalah tempoh peralihan bagi saya. Ia bukan mudah kerana saya terpaksa bertungkus-lumus mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk menang. Ia mencabar mental dan fizikal saya. Ketika saya ingin berputus asa, Barry akan mengingatkan saya mengapa saya mula berlumba. Barry adalah antara sebab saya masih berada di sini.” kata Hafizh.

Hafizh membuat kemunculan sulungnya dalam Kejohanan Cub Prix Malaysia Petronas AAM pada usia 13 tahun dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam. Pada tahun berikutnya, dia dipelawa menyertai Program Pembangunan Bakat Petronas dan menjadi sebahagian daripada pasukan Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline yang kini dikenali sebagai Petronas Raceline Malaysia Team, menjadikannya pelumba paling muda ketika itu.

Impian

“Menjadi ahli Petronas Raceline Malaysia Team telah membuka lembaran baharu dalam hidup saya. Ia membantu menyempurnakan kemahiran saya sebagai pelumba dan mencapai keputusan yang lebih baik. Bagi saya, Program Pembangunan Bakat Petronas memberi golongan muda kelebihan dan platform yang diperlukan untuk mencapai impian mereka. Itulah kelebihan program ini. Ia merealisasikan impian saya.” ujar Hafizh.

Dengan sokongan Petronas, Hafizh terus menggegar arena perlumbaan motosikal dan menempa nama di persada dunia.

“Saya berikan yang terbaik. Selebihnya adalah tuah. Saya menganggap setiap perlumbaan sebagai peluang untuk saya berlatih dan berlumba dengan lebih baik. Ia memberi kepuasan kepada diri saya, sama seperti ketika saya mengatasi keupayaan diri sendiri dan mencuba sesuatu yang baharu,” jelasnya.

Banyak kejayaan telah dicapai pelumba muda ini sepanjang lapan tahun bersaing dalam arena permotoran. Hafizh menjuarai Piala Yamaha Asean 2008 dan Juara Cub Prix Petronas AAM Malaysia bagi bawah kategori Novice pada 2009 dan kategori CP130 pada 2010.

Namun, nama Hafizh mula meniti di bibir peminat permotoran tempatan apabila dia berjaya menduduki tempat keempat dalam perlumbaan Moto2 MotoGP Malaysia 2012.

Dia mengukir sejarah sebagai pelumba wildcard pertama yang berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan menewaskan ramai pelumba profesional lain yang sudah mempunyai nama di Moto2.

“Perjalanan saya dalam dunia sukan permotoran baru saja bermula. Ia masih jauh dan masih banyak yang perlu dikecapi. Tetapi apa yang pasti adalah saya tidak boleh melakukannya tanpa sokongan keluarga. Barry dan Petronas yang telah menjadikan impian saya satu kenyataan. Saya tak mungkin berpeluang berlatih di Sepanyol dan memiliki pengalaman peringkat antarabangsa jika bukan kerana sokongan Petronas.” katanya.

Hafizh sedar dia menjadi harapan negara dalam sukan permotoran dan dia berharap dapat memenuhi impian rakyat Malaysia itu. “Matlamat saya adalah untuk mengharumkan nama Malaysia. Saya ingin mengukir nama negara di arena sukan permotoran antarabangsa dan itu akan menjadi sumbangan saya kepada tanah air.”

Apabila ditanya apakah nasihatnya kepada golongan muda di Malaysia yang berkongsi minat yang sama, Hafizh berkata, “Semuanya memerlukan usaha yang gigih tanpa putus asa. Anda perlu yakin dengan impian anda. Dan yang penting, anda perlu yakin pada diri sendiri.”

– http://m.utusan.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");