Membawang Hari Ini

Percaturan In-Team

KUMPULAN nasyid ini semangnya sudah dikenali dalam bidang seni tempatan. Meskipun ia lahir seiring dengan kumpulan nasyid sekitar 10 tahun lalu, namun siapa sangka nama kumpulan ini masih utuh di persada seni.

Menariknya, ia terus mempunyai peminat dan pengikut setia meskipun semakin ramai artis-artis dan aliran muzik baru yang muncul dalam bidang ini.

Dianggotai empat sahabat iaitu Mohd Syahril Abdul Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman, kumpulan yang dikenali sebagai In-Team ini mengakui akan terus bertahan selagi diterima dalam industri ini.

Mewakili ahli kumpulannya yang lain, Mohd Syaril berkata, In-Team masih bergerak aktif sehingga kini kerana mahu memastikan muzik nasyid terus mendapat tempat dalam bidang muzik.

“Bukan mudah untuk memastikan kami terus hidup di mata peminat muzik. Kerana itu, ia terpulang kepada mana-mana artis atau kumpulan itu sendiri sama ada untuk menjadikan muzik pilihan mereka ini sebagai hobi semata atau kerjaya yang serius.

“Bagi saya, jika punya prinsip atau pegangan yang kukuh terhadap bidang ini, kita akan terus berjuang selagi termampu,” katanya teknologi kini antara faktor jatuh bangunnya artis itu. Tambahnya yang turut dikenali sebagai Cikalid, jika dahulu mereka perlu ambil masa lama untuk hasilkan lagu dan album tetapi bukan di zaman serba canggih ini.

“Dengan adanya program realiti dan You Tube, sesiapa pun boleh menjadi penyanyi. Malah, mereka tidak perlu ambil masa panjang untuk dikenali dan melahirkan karya sendiri,” jelasnya mengenai dunia muzik kini.

Kembalikan nostalgia

Sekitar tahun 2000, kumpulan In-Team amat popular dan dikenali dengan lagu mereka yang berjudul Kasih Kekasih. Dek kerana merindui zaman kegemilangan bersama lagu tersebut, Cikalid berkata, mereka berharap dapat mengembalikan nostalgia lagu tersebut yang terus menjadi siulan peminat sehingga kini.

Disebabkan itu, mereka bakal melahirkan sebuah single terbaru yang mana mempunyai konsep sama seperti lagu popular itu.

“Dahulu selain kasih kekasih kami juga terkenal dengan impian kasih dan damba kasih. Rasanya sehingga kini masih ramai yang mengingati lagu tersebut. Jadi kami rebut peluang yang ada untuk kembalikan momen manis bersama lagu itu.

“Bagaimanapun, single terbaru ini masih punya kelainan untuk memastikan ia seiring dengan arus muzik kini,” katanya ia merupakan kali pertama In-Team melahirkan single tanpa album penuh.

Berkongsi mengenai perkara itu, Cikalid memberitahu, ia juga perkara baru bagi mereka.

“Seperti saya katakan sebelum ini, sekarang dah tak perlu nak tunggu siap album baru lancar lagu. Lahirkan single pun dah cukup untuk buat kita dikenali asalkan karya yang diterbitkan bermutu.

“Kami sendiri tergerak mencuba kaedah ini kerana merasakan sudah tidak ramai peminat yang sanggup membeli album dan lebih menerima single sahaja,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan kakitangan In-Team Record pada bulan Ramadan lalu.
Mengulas lanjut mengenai single itu, kata Cikalid, ia masih dalam proses pembikinan yang mana bakal mendapat sentuhan komposer dari Thailand iaitu Abu Yusof.

“Sekarang ini kami hanya mencari penulis lirik sahaja. Untuk susunan muzik pula kami bakal mendapat khidmat Along Exist,” katanya akan menyelitkan unsur Thailand dan Korea bagi single tersebut.

Tidak hanya fokus kepada penerbitan single, In-Team juga bakal melancarkan album selawat dan qasidah yang akan memulakan rakaman selepas Syawal ini.

“Untuk album ini kita akan muatkan 10 selawat dan qasidah popular yang semakin mendapat tempat di hati golongan remaja kini.

“Jika semuanya berjalan lancar ia akan diterbitkan hujung tahun ini,” katanya ia mengambil konsep akustik dan akan dirakam dalam versi terkini.

Lakukan kolaborasi

Bercerita mengenai perancangan kumpulan ini pula, kata Hazamin kerana penerimaan peminat terhadap muzik nasyid kurang memberangsangkan, mereka mungkin melakukan perubahan daripada segi karya yang akan dihasilkan.

“Sebenarnya sudah lama saya fikir untuk membuat kolaborasi bersama artis-artis lain. Misalnya artis hip hop atau pun rock. Sebab kita lihat sudah banyak karya yang menggunakan usaha sama bersama mereka berjaya menarik perhatian anak muda.

“Jadi tidak salah rasanya untuk lahirkan sesuatu seperti itu kerana muzik nasyid perlukan sesuatu yang baru. Dan ini sekali gus meluaskan skop nasyid itu sendiri dan tidak tertumpu kepada peminat nasyid sahaja,” katanya nasyid perlu keluar daripada kelompok mereka.

Ujarnya juga, muzik adalah mekanisme yang mudah untuk menembusi hati semua orang dan ia perlu dimanfaatkan sebaiknya.

“Dengan cara ini dakwah dapat disampaikan dengan lebih mudah kepada mereka,” katanya lagi.

Kongsi momen Syawal

Walaupun sibuk dengan tugasan dan perancangan masing-masing, namun keempat-empat anggota In-Team tetap meraikan Syawal dengan meriah tahun ini.

Di sebalik kesibukan mereka itu, mereka turut menyimpan momen Syawal untuk dikongsi bersama peminat.

Bagi anak jati Temerloh, Pahang ini, dia masih teringat kenangan berhari raya di zaman kanak-kanak yang dirasakan paling gembira buatnya.

“Dulu memang saya ikut takbir pada malam raya sehingga ham 1 pagi. Malam tu dah makan macam-macam, jadi lepas sembahyang raya esoknya memang rasa nak tidur je. Akibatnya, saya tak beraya la raya pertama tu. Tapi, bila berpeluang saya akan pergi ke rumah yang sama saya pergi pada malam takbir tersebut untuk kutip duit raya buat kali kedua,” kata Hazamin.

Bagi Abdul Rahim pula, kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila dia sakit perut pada hari raya pertama.

“Sama seperti Hazamin, malam takbir tu dah makan banyak, esoknya mulalah perut meragam. Jadi saya tak pergi sembahyang raya dan tetamu yang menziarahi saya pula,” katanya.

Menurut Hisyam pula, dia sebaliknya mempunyai kenangan pahit di zaman sekolahnya.

“Sebab main mercun, saya tercedera. Kerana itu, saya tidak boleh beraya kerana terpaksa berbaring dan berehat sahaja,” ujarnya.

Sementara bagi Cikalid pula, tahun lalu menjadi peristiwa Syawal yang paling diingatinya sehingga kini.

“Tahun 2014 saya diuji apabila saya demam teruk sehingga terpaksa masuk wad. Saya memang terkesan dengan ujian tersebut memandangkan selama ini saya adalah ketua takbir di kampung saya,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");