Berita Hari Ini

Perkasa: Siasat dakwaan burukkan Najib

KUALA LUMPUR – Perkasa menggesa pihak berkuasa segera menyiasat berhubung tuduhan oleh The Wall Street Journal (WSJ) berkaitan dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah AS$700 (RM2.6 bilion) terhadap Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ketua Wira Perkasa Malaysia, Irwan Fahmi Ideris berkata, oleh itu pihaknya telah membuat satu laporan polis meminta pihak berkuasa supaya siasat tentang kesahihan serta kebenaran berita yang tersebar tersebut.

“Jika perkara ini tidak betul, tidak wajar dilempar tuduhan dan tohmahan sebegini rupa. Ini bukan soal tentang Najib, tapi melibatkan integriti sesebuah negara, apatah lagi sudah menjadi sensasi di media-media antarabangsa.

“Kita rasa tanggungjawab kerana tuduhan kepada Najib ini berat dan pihak berkuasa perlu ambil tindakan sewajarnya dan minta menangkap mana-mana individu yang didapati bersalah,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, selepas hadir bersama kira-kira 10 orang ahli Perkasa, di sini, hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga menegaskan jika benar dakwaan tersebut, itu terserah pada pihak berkuasa untuk menentukannya.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkasa Selangor Abu Bakar Yahya berkata, negara ini ada undang-undang.

“Kita tidak mahu pemimpin negara dihina, ditohmah dan pelbagai lagi kerana ini bukanlah masalah kecil. Jadi, proses bagi menyelesaikan masalah sebegini adalah melalui undang-undang.

“Diharap selepas laporan dan siasatan dibuat, mereka yang didapati bersalah akan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa, Azrul Akmal Saharudin berkata, pihaknya memandang perkara ini secara serius kerana sebarang tuduhan yang datang dari anasir-anasir asing adalah amat zalim dan mempunyai agenda sulit untuk memporak-perandakan negara ini.

“Pihak biro sebulat suara mahu penyiasatan dijalankan seadil-adilnya tanpa bersifat apologetik. Selain itu, kita seiring dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu pihak berkuasa menyiasat hal ini dengan telus dan secara menyeluruh.

“Jika dakwaan mereka didapati tidak benar selepas siasatan, ini adalah satu malapetaka yang malang jika rakyat mempercayainya. Ia bukan saja telah mencalarkan kredibiliti negara di mata dunia malah menunjukkan bahawa fitnah mudah bermaharajalela di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, kita harus sedar anasir-anasir asing sedang mencuba untuk memusnahkan negara kita kerana Malaysia adalah salah satu negara Islam yang terkehadapan dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Katanya lagi, pihaknya tidak akan sesekali membenarkan ‘dajal-dajal’ ini cuba untuk memporak-perandakan negara ini.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");