Jenayah

Power bank berasap di pangkuan

BAHAU – Seorang kanak-kanak perempuan nyaris cedera apabila power bank yang di pangkuannya terbakar ketika bermain telefon pintar, petang Jumaat lalu.

Ketika kejadian jam 5.30 petang itu, kanak-kanak tersebut, Nur Adrianna Darwisya Othman, 4, bersama abangnya, Muhammad Irfan Jazly Othman, 6, berada di tempat duduk belakang kereta dipandu bapa mereka, Othman Abdul Majid, 34, dalam perjalanan dari Bahau menghala ke Juasseh.

Menurut Othman, telefon tersebut dalam keadaan bercas menggunakan alat berkenaan, namun ketika tiba di Juasseh dia terbau seperti sesuatu terbakar.

“Saya hidu bau penghawa dingin elok sahaja. Saya buka cermin tingkap tetapi bau asap makin kuat.

“Saya tanya kepada mereka berdua (anak-anak), hanya si abang yang menjawab, adiknya pula hanya diamkan diri,” katanya.

Othman berkata, dia memberhentikan kenderaan di bahu jalan sebelum keluar memeriksa anak bongsunya berikutan Nur Adrianna Darwisya seperti menahan kesakitan.

“Terkejut saya bila lihat power bank itu berasap. Saya terus campakkannya ke lantai kereta.

“Saya bawa anak-anak keluar kereta, tak sampai beberapa saat saya nampak percikan api dan kereta penuh asap,” katanya.

Othman berkata, untuk mengelakkan insiden lebih teruk, dia cuba memadamkan api pada power bank berkenaan selama hampir 10 minit, namun dia redha sekiranya keretanya terbakar.

“Anak bongsu saya agak trauma sekarang bila lihat power bank,” katanya.

Menurutnya, alat berkenaan dibeli di sebuah pasaraya terkemuka di Kuala Lumpur awal tahun lalu, dan penjual memaklumkan ia adalah tulen.

“Saya bukan ingin menyalahkan sesiapa, cuma orang ramai perlu lebih berhati-hati semasa menggunakannya atau membelinya agar kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");