Berita Hari Ini

Rakyat Malaysia luar negara sahut #MalaysiaNgaji

SHAH ALAM – Bukan rakyat di negara ini sahaja, bahkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara turut menyahut peluang untuk bersama-sama membaca al-Quran dan khatam selama sejam di seluruh negara pada 11 Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, inisiatif terbaharu Rumah Ngaji iaitu #MalaysiaNgaji ini membuka peluang kepada masyarakat bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia untuk membudayakan pembacaan al-Quran.

“Setakat ini kami sudah menerima penyertaan daripada rakyat Malaysia yang bekerja di Menara Jam Mekah. Mereka menyokong penuh usaha ini. Tidak kurang juga sokongan daripada rakyat kita yang berada di negara jiran seperti Thailand, Indonesia, dan Singapura.

“… Selain itu, kami turut menerima penyertaan daripada London, Britain dari pelajar-pelajar dan pensyarah kita di sana. Mereka semua bersetuju untuk mengikuti program ini mengikut garis masa di negara masing-masing,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

Seramai satu juta individu pelbagai umur dan golongan disasarkan untuk khatam al-Quran dalam tempoh sejam di seluruh Malaysia pada Sabtu akan datang.

Muslimin dan muslimat boleh menyertai #MalaysiaNgaji dengan mendaftarkan kumpulan yang terdiri daripada 30 orang dengan Rumah Ngaji (0139646618) untuk temu janji bersama-sama khatam al-Quran serentak dalam program tersebut pada jam 12 tengah hari hingga 1 petang, 11 Julai nanti dari seluruh negara.

Mengulas mengenai sambutan #MalaysiaNgaji di dalam negara, Marhaini berkata, bilangan penyertaan peserta dari dalam negara bertambah dari tarikh program tersebut dilancarkan.

“Alhamdulillah setakat ini, bilangan peserta #MalaysiaNgaji sudah bertambah. Pada awal kami lancarkan program, cuma ada 1,000 penyertaan dari pelbagai pihak, namun sekarang kami sudah menerima penyertaan dari setiap negeri.

“Kebanyakan penyertaan terdiri dari golongan mualaf, sekolah pondok dan sekolah agama. Sekarang ini, kami mahu galakkan individu perseorangan, keluarga atau persatuan-persatuan seperti persatuan pemandu teksi, atau persatuan ibu tunggal bagi mengikuti program ini,” katanya lagi.

Menurutnya, konsep #MalaysiaNgaji yang diketengahkan bertujuan untuk membudayakan pembacaan al-Quran; selain mengajak umat Islam berbuat kebaikan demi kesejahteraan bersama.

“Ini satu kempen untuk mengajak kita sesama manusia supaya berbuat kebaikan. Matlamat kami adalah untuk melahirkan masyarakat yang tidak kisah untuk membuka dan membaca kitab suci al-Quran walau di mana mereka berada.

“Kami mahu wujudkan masyarakat yang tidak segan untuk baca kitab Al-Quran. Kita betulkan niat kita semua dan sama-sama pupuk masyarakat untuk berbuat kebaikan,” ujarnya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");