Jenayah

‘Saya reda dengan ujian berat ini’

KEMAMAN – “Akhirnya kehilangan suami terjawab, saya reda dengan ujian berat ini,” kata isteri nelayan pukat tunda, Mohd Zawawi Seman, 36, yang mayatnya ditemui terapung di perairan Pulau Kapas kelmarin selepas hilang di laut sejak 26 Jun lalu.

Salihana Zawawi, 29, berkata, walaupun penemuan jasad itu menghancurkan harapannya untuk menyambut Aidilfitri buat pertama kali bersama suami tersayang dan anak tunggal mereka, Muhammad Aminuddin yang berusia dua bulan namun dia lega kerana sekurang-kurang dapat menatap wajah suami buat kali terakhir.

Malah, katanya, sejak tiga hari sebelum mayat suaminya itu ditemui, nalurinya kuat mengatakan bahawa suaminya itu sudah meninggal dunia.

“Beberapa hari selepas suami gagal dihubungi, saya masih yakin yang dia selamat dan akan pulang sebelum hari raya.

“Tapi beberapa hari lalu saya mula rasa tidak sedap hati, bahkan bayi kami juga asyik meragam dan kadangkala dia tersenyum sendiri,” katanya ketika ditemui.

Salihana menerima panggilan telefon mengenai penemuan mayat suaminya itu kira-kira jam 6 petang kelmarin dan segera bergegas ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk membuat pengecaman ke atas mayat yang dijumpai.

Ketika dalam perjalanan ke hospital juga, pihak polis memaklumkan kepadanya bahawa turut ditemui pada badan mayat itu adalah beg pinggang yang mengandungi beg duit, kad pengenalan, telefon bimbit serta kad perkahwinan milik suaminya.

“Selepas itu barulah saya benar-benar yakin mayat itu adalah suami saya… walaupun sangat sedih tapi sekurang-kurangnya saya masih mampu menatap jenazahnya buat kali terakhir dan tanda tanya saya selama ini terjawab,” katanya.

Sempat pesan jaga anak

Katanya, sebelum turun ke laut pada 21 Jun, suaminya itu sempat berpesan kepadanya agar menjaga anak dan keluarga mereka dengan sebaiknya.

“Allahyarham waktu itu pandang saya dan anak seolah-olah hatinya berat untuk tinggalkan kami,” katanya yang merancang untuk bekerja selepas ini bagi mengambil alih tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga.

Mohd Zawawi yang menggalas tanggungjawab besar kerana turut menjaga beberapa adik kandungnya selepas pemergian ibu dan bapanya hilang bersama tiga nelayan lain iaitu Ab Wahab Tekak, 57, Azuari Muda@Abu Bakar, 41 dan Mohd Nasri Ab Wahab, 30.

Kata Salihana, pada 25 Jun, suaminya ada menelefon adiknya dan memaklumkan ribut di tengah laut sebelum telefonnya kehabisan bateri.

Menurutnya, Allahyarham suaminya seorang yang periang dan sejak belakangan ini Allahyarham sering bergurau berhubung kematian bersama rakannya sebelum turun ke laut.

Sementara itu, jenazah Mohd Zawawi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman, di sini, lebih kurang jam 6 petang sambil disaksikan seramai 300 ahli keluarga, saudara mara dan penduduk setempat.

Jenazah sebelum itu terlebih dahulu dimandi dan dikafankan di HSNZ dan bergerak pulang ke Kemaman sekitar jam 2 petang.

Suasana di pekarangan Surau Haji Muda Geliga bertukar bertukar hiba apabila jenazah tiba lebih kurang jam 4.30 petang dan kemudiannya disembahyangkan selepas solat Asar oleh 100 jemaah. Jenazah disemadikan berdekatan pusara kedua ibu bapa dan saudara terdekatnya.

Dalam pada itu, bapa Azuari, Muda@Abu Bakar Selleh, 67, berkata, dia sekeluarga reda andai anaknya juga sudah tiada namun berharap agar mayat anaknya dan dua lagi nelayan yang hilang dapat ditemui segera.

“Mudah-mudahan mereka bertiga dapat ditemui secepat mungkin sama ada dalam keadaan masih bernyawa ataupun tidak. Kami reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

“Kalau nasib mereka juga sama seperti Mohd Zawawi, sekurang-kurangnya wajah mereka dapat ditatap untuk kali terakhir dan ada pusara untuk kami ziarahi,” katanya sebak.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");