Sukan Hari Ini

Semangat Sang Saka Biru!

Kuala Lumpur: ‘Ayuh! Bangkitlah Sang Saka Biru.’ Laungan itu disuarakan jurulatih Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Azman Adnan yang mahu anak buahnya kembali mencipta kemenangan dalam pertemuan Liga Super menentang Kelantan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Azman tidak rela anak buahnya terus tercicir mata dalam saingan musim ini dan PDRM yang kekal di tangga keenam walaupun kecundang 1-2 kepada Johor DT Sabtu lalu, tidak boleh kehilangan mata lagi jika mahu terus berada dalam radar Liga Super musim depan.

“Memang sekarang kedudukan PDRM agak selesa di pertengahan liga. Sebagai pendatang baru, ia pencapaian yang agak baik. Tapi, itu belum menjamin kami akan kekal dalam Liga Super. Masih banyak perlawanan perlu diharungi, jika kami ambil mudah dan asyik kalah, pasukan lain akan memintas.

“Terengganu dan LionsXII contohnya sedang mengejar kami. Jurang mata juga tidak banyak beza. Begitu juga dengan pasukan yang berada di kedudukan bawah, mereka masih mampu bangkit dan membuat kejutan,” kata Azman.

Azman berkata, PDRM memiliki ramuan yang diperlukan sebagai pencabar Liga Super cuma rasa rendah diri sebagai pendatang baru sering membataskan kemampuan sebenar mereka.

“Kami mempunyai pemain import berpengalaman dan bagus. Kami ada beberapa orang pemain kebangsaan, juga pemain muda yang berbakat. Adunan ini sudah lengkap, cuma mereka perlu lebih yakin kemampuan mereka sendiri.

“Pemain PDRM perlu menunjukkan kemampuan sebenar. Buang rasa rendah diri dan lawan dengan semangat juang yang tinggi. Saya mahu tiga mata dalam perlawanan dengan Kelantan ini, bukan seri, jauh sekali kalah. Apatah lagi kami bermain di tempat sendiri,” ujarnya.

Begitupun, Azman menegaskan dia tidak berniat memandang rendah kemampuan Kelantan sebaliknya yakin dengan kemampuan pasukannya sendiri.

Selain itu beliau sedang menimbang kemungkinan merombak barisan pertahanan ekoran terlalu mudah dibocori. Sehingga kini, benteng yang dikemudi dua pemain kebangsaan, Muslim Ahmad dan Afif Amiruddin itu sudah dibolosi 27 gol.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");