Jenayah

Wanita maut dilanggar lari

JASIN – Hasrat seorang pekerja kilang membeli sarapan di kedai makan berhampiran bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar lari ketika sedang melintas jalan di Kilometer 26 Jalan Jasin – Bemban, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, Jabarina Bidin, 34, berasal dari Taman Ayer Merbau maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Abang mangsa, Limat, 39, berkata, dia terkejut apabila penduduk kampung memberitahu adiknya terbabit kemalangan kerana sebelum itu dia menghantar adiknya itu ke kilang.

“Saya yang menghantar dia pergi kerja pagi tadi (semalam) sampai ke kilang.

“Memang setiap hari saya yang hantar dia, tidak kira hujan. Sejak Selasa lalu dia sudah mula kerja selepas cuti raya,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham yang bekerja di kilang itu  lebih setahun lalu ada membawa bekal makanan dari rumah disebabkan kantin kilang terbabit tutup selama seminggu sempena Aidilfitri.
“Saya tak sangka pula adik boleh berjalan dari kilang mungkin untuk membeli makanan lain di kedai berdekatan,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Jasin, di sini semalam.

Allahyarham Jabarina meninggalkan seorang anak tunggal lelaki berusia lima tahun.

Anak keempat dari enam adik-beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Merbau, di sini selepas solat zuhur, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhammad Nur Hishammuddin Hashim berkata, polis sedang mencari individu melanggar mangsa yang difahamkan melarikan diri selepas kejadian.

“Orang ramai menyaksikan kejadian diminta tampil memberi kerjasama di balai polis berdekatan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");