Jenayah

Warga asing berdepan tali gantung

KUANTAN – Mahkamah Tinggi Kuantan, di sini, semalam memerintahkan seorang warga asing tampil membela diri sekali gus memberi keterangan secara bersumpah atas kesalahan mengedar dadah, 4 September depan.

Tertuduh, Murthi Moty Bupati, 49, dari New Delhi, India yang merupakan seorang tukang masak didakwa melakukan kesalahan mengedar dadah jenis methaphetamine seberat 1.66 gram, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ‘prima facie’ dan mendapati melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

Ab. Karim dalam penghakiman di akhir kes pendakwaan itu berkata, pihak peguam dalam pembelaannya membuat hujahan dari aspek beg tersebut bukan kepunyaan tertuduh dan ia telah dikacau ganggu.

“Dalam kes ini, sama ada beg itu kepunyaan tertuduh, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikannya melampaui keraguan munasabah,” katanya.

Dengan itu, mahkamah menetapkan 4 September depan bagi membolehkan tertuduh membela diri secara bersumpah dari kandang saksi.

Terdahulu, berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan tersebut di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, di sini, lebih kurang jam 8 malam, 18 November 2013.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Syuhada Shamsudin sementara tertuduh diwakili peguam, Bob S. Arumugam.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");