Sukan Hari Ini

Amirudin tak gentar hukuman FAM

Kuala Lumpur: Walaupun kemungkinan besar bakal berdepan tindakan tegas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Pengurus Selangor Amirudin Shari tetap tidak berganjak dengan pendiriannya bahawa keputusan tidak melepaskan tiga pemain mereka menyertai latihan skuad Pilihan Malaysia bulan lalu tidak bertentangan dengan peraturan.

Kes Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak melepaskan Ahmad Hazwan Bakri, Afiq Azmi dan pemain import Robert Cornthwaite menyertai latihan skuad kendalian Dollah Salleh pada 19 Julai lalu kini sudah dibawa ke Jawatankuasa Status FAM untuk tindakan.

“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi. Kita yakin dengan pendirian kita, kita ada hujah dan fakta kukuh.

Kita juga bersedia untuk mengemukakan kepada pihak terbabit. Kalau ada tindakan, kita bersedia untuk jelaskan dan diharapkan penjelasan itu akan selaras dengan peraturan sedia ada,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ini bukan kali pertama skuad Red Giants berdepan masalah hampir sama apabila pada 2008, mereka pernah didenda pemotongan tiga mata apabila empat pemainnya Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Safee Sali dan Mohd Amirulhadi Zainal didakwa ‘cabut lari’ daripada klinik kendalian bekas penyerang kelab Liverpool Ian Rush.

Semua pemain terbabit didenda RM1,000 manakala jurulatih Selangor ketika itu Dollah yang dikatakan memberikan arahan kepada pemain didenda RM10,000.

Mungkin FAS tidak mempunyai masalah untuk membayar denda itu namun jika skuad kendalian Mehmet Durakovic itu ditolak mata, sudah pasti peluang mereka untuk mencabar kejuaraan Liga Super bertambah sukar.

Sebelum turun menentang PDRM semalam, Selangor menduduki tangga kelima liga dengan 24 mata selepas 15 perlawanan, sembilan mata di belakang pendahulu Pahang.

Menurut Amirudin, beliau sudah mengkaji terlebih dulu peraturan sebelum membuat keputusan tidak membenarkan tonggak utamanya itu beraksi dalam perlawanan dengan Liverpool itu pada 24 Julai lalu.

“Bukan masalah ada kelebihan (hujah), saya yakin kita buat keputusan berlandaskan kefahaman kita, pengetahuan kita dan pendirian kita sangat jelas,” katanya.

Tegasnya, isu itu tidak menjejaskan tumpuan pasukan dalam mengharungi baki saingan yang kini semakin hampir ke kemuncaknya.

– http://www.hmetro.com.my

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");