Sukan Hari Ini

Angela waspada cabaran MISC-MIFA

Kuala Lumpur: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berhati-hati dengan kemampuan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bolasepak India Malaysia (MISC-MIFA) apabila kedua-duanya diundi dalam Kumpulan B kejohanan bola sepak wanita Piala Tun Sharifah Rodziah 2015 kelmarin.

Lebih menarik, kedua-dua pasukan berkenaan yang menjadi pasukan pilihan Kumpulan B akan berentap sesama sendiri dalam aksi pembuka tirai hari ini di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut ketua pasukan PDRM Angela Kais (gambar), walaupun dalam saingan edisi ke-28 kali ini Sabah lebih menjadi tumpuan kerana statusnya penyandang juara, kekuatan MISC-MIFA juga tidak boleh diperkecilkan.

“MISC-MIFA juga membariskan pemain kelahiran Sabah musim ini dan mereka juga bakal menurunkan bekas pemain kebangsaan,” kata pemain berusia 35 tahun itu selepas majlis undian kejohanan berkenaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kelmarin.

Jelasnya, PDRM sudah mempersiapkan pasukan sebelum sambutan Aidilfitri dan sekarang ini semua latihan mahupun persiapan berjalan lancar dalam usaha mereka untuk memburu kejuaraan buat kali keempat.

Selain PDRM dan MISC-MIFA, turut berada dalam Kumpulan B ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pahang dan Perak, manakala Kumpulan A pula menempatkan Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Negeri Sembilan dan Sarawak.

Kali pertama PDRM beraksi di perlawanan akhir ialah pada 1994 namun mereka terpaksa akur dengan kehebatan Sabah apabila tumpas dalam aksi berkenaan.

Sebelum ini, ketua jurulatih PDRM, Omar Hamzah menyatakan bahawa sasaran pasukannya kali ini ialah untuk mara ke final yang bakal berlangsung Sabtu minggu depan.

Omar mahu mengulangi pencapaian lalu apabila berjaya mara ke saingan akhir sepanjang enam edisi berturut dan sekali gus muncul juara seperti yang dilakukan pada 2002.

Selain Angela, pemain lain yang menjadi taruhan PDRM ialah Norhanisa Yahya, 26, Malini Nordin, 30, Masyita Tajib, 26, Lovelytha Jelus, 24, serta penjaga gol, Nur Atiqa Lilia Abdullah, 43.

Selepas 11 tahun menyepi, FAM mengambil inisiatif untuk menghidupkan semula kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah bagi edisi kali ke-28, tahun ini.

Dua pasukan teratas Kumpulan A dan B bakal bertembung di separuh akhir pada 7 Ogos (Jumaat) dan final dijadual pada 8 Ogos (Sabtu) di Stadium Mini ILKAP, Bangi.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");