Jenayah

Bergelut sebelum ditembak

Kuala Terengganu: “Saya dengar bunyi letupan sebanyak tiga kali. Saya ingat orang bermain mercun tetapi rupa-rupanya ia bunyi tembakan,” kata saksi kejadian tembakan membabitkan seorang lelaki berusia 28 tahun di Jalan Hiliran di sini, kelmarin.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Foo, 69, berkata, sebelum kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Wong Ze Chow, 20-an, dikatakan memasuki kedainya terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya untuk membeli air pada jam 9.10 malam.

Menurutnya, mangsa yang juga anak kepada pemilik kedai menjual barangan elektrik itu tidak lama berada di kedainya sebelum keluar semula.

“Tidak lama selepas dia keluar dari kedai, saya dikejutkan dengan bunyi letupan, tetapi tidak menghiraukan bunyi itu kerana menyangka orang bermain mercun.

“Bagaimanapun, perasaan ingin melihat sendiri selepas pelik dengan bunyi itu membuatkan saya keluar dan terkejut melihat Wong terbaring di depan kedai bapanya,” kata peniaga runcit itu yang lebih 30 tahun berniaga di kawasan berkenaan.

Katanya, mangsa yang juga anak sulung daripada tiga beradik sudah berkahwin dan dia mengenalinya sejak kecil dan seorang yang baik serta menghormati orang tua.

“Sama ada dia mempunyai musuh atau masalah peribadi berkaitan kerjanya atau sebab lain, saya tidak tahu tetapi apa yang saya tahu dia seorang yang baik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia melihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan rumah kedai berkenaan, namun tidak pasti sama ada tembakan itu dilakukan dua lelaki terbabit atau orang lain.

Dalam kejadian jam 9.15 malam, mangsa cedera di bahu kanan selepas terkena beberapa das tembakan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahurah (HSNZ) di sini, untuk rawatan lanjut oleh keluarganya.

Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai bergelut sebelum ditembak dua penjenayah dipercayai cuba melarikan pacuan empat roda Toyota Hilux milik mangsa yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedainya.

Mangsa dipercayai terserempak dengan penjenayah terbabit ketika dalam perjalanan ke kenderaannya untuk mengambil kad televisyen berbayar yang ditinggalkan.

-http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");