Jenayah

Cubaan seludup rokok, ‘chewing tabacco’ gagal

SINGAPURA – Empat lelaki rakyat Malaysia berusia antara 28 dan 51 tahun ditahan kerana cuba menyeludup rokok dan ‘chewing tobacco’ kontraban yang disorok dalam tiga jenis kenderaan ketika melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata sejumlah 423 karton rokok dan 20,542 uncang ‘chewing tobacco’ kontraban bernilai lebih S$100,000 (S$1=RM2.79) dirampas dalam tiga kes itu.

Jumlah duti dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dielak, masing-masing melebihi S$88,000 dan S$7,000.

Dalam kes pertama pada Rabu (29 Julai) iaitu pada kira-kira 11.15 malam, sebuah bas kosong berpendaftaran Malaysia yang dipandu seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 51 tahun, diarah menjalani pemeriksaan lanjut apabila ia tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Apabila pemeriksaan dilakukan, sebuah kotak yang dibalut dengan plastik hitam mengandungi rokok kontraban dijumpai disorok di dalam tempat bagasi bas itu.

Hasil pemeriksaan lanjut, para pegawai menjumpai empat kotak serupa dan dua baldi mengandungi ‘chewing tobacco’ di tempat sama.

Keseluruhannya, sebanyak 125 karton rokok dan 2,400 uncang ‘chewing tobacco’ kontraban dijumpai di dalam bas itu.

Dalam kes kedua pada Khamis (30 Julai) iaitu pada kira-kira 5.45 pagi, dua lori berpendaftaran Malaysia yang dipandu seorang rakyat Malaysia berusia 47 tahun dan seorang lagi yang berusia 28 tahun, diarah menjalani pemeriksaan lanjut sebaik setelah tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Dalam pemeriksaan mereka, para pegawai ICA menjumpai tiga bungkusan plastik hitam mengandungi ‘chewing tobacco’ disorok di dalam bahagian enjin satu daripada lori terbabit.

Dua bungkusan plastik hitam juga dijumpai di bahagian enjin sebuah lori lain.

Sejumlah 18,142 uncang ‘chewing tobacco’ dijumpai dalam lima bungkusan itu.

Dalam kes ketiga pada hari sama iaitu pada kira-kira 6.30 pagi, para pegawai ICA di Pusat Pemeriksaan Tuas menjumpai 298 karton rokok kontraban disorok di dalam ruang yang diubah suai sebuah kereta yang menggunakan nombor pendaftaran Malaysia.

Kereta berkenaan dipandu lelaki rakyat Malaysia berusia 32 tahun.

Pemandu, barang kontraban dan kenderaan yang terlibat dalam kesemua kes itu diserah kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut.

Kenderaan yang diguna dalam melakukan kesalahan itu boleh dirampas. Siasatan sedang diteruskan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");