Isu Panas

Elak politik kepartian di masjid

PASIR MAS – Masjid di negara ini perlu bebas dari sebarang aktiviti politik kepartian bagi mengelakkan ia disalahgunakan oleh pihak tertentu bagi menyebarkan fahaman yang boleh membawa kepada perpecahan dan permusuhan dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, masjid bukanlah tempat sesuai untuk berpolitik kerana peranan utama institusi berkenaan ialah mengukuhkan perpaduan dalam kalangan umat Islam selaras dengan tuntutan agama.

“Bila berada dalam masjid eloklah kita ketepikan segala pandangan dan perselisihan faham berkaitan perbezaan fahaman politik kepartian yang boleh membawa kepada perpecahan.

“Sebaliknya berpadu menjadi satu ummah kerana Islam tidak pernah membezakan sebarang latar belakang, ideologi mahupun warna kulit ketika menghadap Maha Pencipta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mahu masjid sebagai benteng masyarakat daripada berlaku perpecahan dan permusuhan.

Terdahulu, Asyraf merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita dan Pemuda Umno Bahagian Pasir Mas di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Umno negeri, merangkap Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat.

Sebuah akhbar tempatan semalam, melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang berharap institusi masjid di negara ini dapat berperanan sebagai benteng masyarakat daripada berlaku perpecahan dan permusuhan.

Asyraf menyokong sepenuhnya titah Agong kerana ia bertepatan dengan saranan ditetapkan al-Quran.

Beliau berkata, masjid bukan sahaja platform penyatuan ummah, bahkan sebagai pusat perkembangan ilmu.

“Jadi sudah tiba masanya kita bersatu tenaga dan mengembalikan semula peranan masjid dan membebaskan institusi ini daripada sebarang aktiviti politik kepartian.

“Politik kepartian tidak membawa sebarang keuntungan, sebaliknya mengundang perpecahan dalam kalangan umat Islam saja,” katanya.

Katanya, kerajaan akan memberikan penerangan dalam usaha memperkasakan lagi peranan masjid dan bebas daripada anasir politik kepartian.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");