Jenayah

Hilang: Gerakan mencari diteruskan

GUA MUSANG: Tujuh murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi, dekat sini, yang hilang di hutan sekitar kawasan pos berkenaan sejak Ahad lalu belum ditemui dan gerakan mencari mereka kini memasuki hari keempat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah memaklumkan, gerakan mencari murid-murid yang berasal dari Kampung Gawing dan Penat semalam bertumpu di sekitar 10 kampung berdekatan.

Menurut beliau, lebih 100 anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk kampung berusaha mencari kesemua murid-murid berkenaan.

“Kita akan memperluaskan gerakan mencari tujuh murid Orang Asli berkenaan ke kawasan lain sebaik sahaja operasi selesai di 10 kampung berkenaan dan setelah kita berpuas hati dengan keadan di situ.

“Apa pun, kita terus beri tumpuan kepada gerakan mencari tujuh murid terbabit yang sehingga kini telah seminggu hilang tanpa diketahui keadaan mereka,” katanya.

Pagi Ahad lalu, Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7 dilaporkan hilang di kawasan hutan, dipercayai melarikan diri kerana takut dikenakan tindakan oleh guru sekolah mereka selepas mandi sungai tanpa kebenaran.

Mereka yang tinggal di asrama sekolah itu keluar mandi di sungai tidak jauh dari sekolah berkenaan pada jam 3 petang, Sabtu lalu dan pulang ke asrama selepas diarahkan guru, sebelum lari dari sekolah pada pagi Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Dendi Johari berkata, rakan murid-murid yang hilang telah dipanggil oleh pasukan keselamatan untuk mendapatkan maklumat berhubung kejadian.

Dalam pada itu, beliau terkilan kerana ada pihak menuduh masyarakat Orang Asli mereka-reka cerita mengenai kehilangan murid terbabit sedangkan ibu bapa mereka masih berasa sedih apabila anak-anak mereka belum ditemui.

“Bagi saya itu satu tuduhan berat dan tidak masuk akal. Keluarga murid-murid berkenaan turut mencari bersama-sama pasukan keselamatan sejak hari pertama sehingga sekarang,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");