Sukan Hari Ini

Hoki satukan negara

BERNAMA
Kuala Lumpur: Kejohanan hoki Piala Dunia 1975 pernah menyaksikan seluruh negara bersatu menerusi sukan sehingga membolehkan skuad kebangsaan menduduki tempat keempat, pencapaian terhebat yang kekal sehingga ke hari ini.

Kini, 40 tahun sudah berlalu dan menurut bekas penyerang skuad negara ketika itu, Datuk Poon Fook Loke, tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘Sehati Sejiwa’ turut mengimbau memori di mana semua rakyat mengetepikan sebarang perbezaan untuk menyokong skuad negara di kejohanan tersebut yang dilangsungkan di Kuala Lumpur.

“Sokongan penonton begitu hebat dan mengagumkan sehingga pemain langsung tidak gentar berdepan lawan. Ini dibuktikan menerusi kejayaan menewaskan juara bertahan, Belanda untuk mara ke separuh akhir.

“Ia adalah pengalaman seumur hidup untuk beraksi di depan 50 hingga 60 ribu penonton di Stadium Merdeka. Ia adalah di luar dugaan dan diakui kehadiran penyokong membantu pencapaian hebat itu,” katanya.

Fook Loke berkata, walaupun berkesempatan beraksi dalam dua Sukan Olimpik, tiga Piala Dunia, Sukan Asia, Sukan SEA, pasukan Bintang Asia (1974) dan Pilihan Dunia (1982), beliau tetap menganggap Piala Dunia 1975 adalah kemuncak karier hokinya.

Katanya, detik paling manis di kejohanan itu adalah ketika perlawanan menentang Belanda kerana kejayaan menewaskan penyandang juara itu 1-0 pada 10 Mac.

“Perlawanan itu dilangsungkan pada pagi 10 Mac, yang kebetulan jatuh pada ulang tahun kelahiran Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ke-53.

“Laporan pada keesokannya menyatakan Perdana Menteri berkata ‘Ia adalah hadiah harijadi terbaik daripada pemain hoki’.

“Satu lagi detik manis adalah perlawanan separuh akhir menentang India di Stadium Merdeka yang dipenuhi penonton. Pada ketika itu, rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan agama, tua dan muda bersatu untuk menyokong pasukan negara,” katanya.

Fook Loke berkata, skuad negara ketika itu memiliki beberapa ciri penting iaitu dahagakan kejayaan, skuad yang bersatu seperti satu keluarga besar serta semangat berpasukan yang tinggi.

Ketika itu, katanya, pemain begitu hebat menguasai posisi masing-masing dan tidak gentar dengan lawan, sambil dibantu jurulatih, Datuk R Yogeswaran, mendiang Datuk Ho Koh Chye dan Allahyarham Mohamed Sidek Othman yang bijak menyusun strategi permainan.

Sebagai bekas pemain kebangsaan, Fook Loke berkata, ia cukup hebat untuk mengetahui sehingga sekarang, orang yang ditemuinya masih bercerita tentang kehebatan Piala Dunia 1975.

Sejak 1956 hingga 2002, hoki sentiasa menjadi antara sukan utama di negara ini, diminati semua pihak termasuk golongan istana, ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan.

Katanya, hoki menerima pengiktirafan yang tinggi berikutan ranking dunia yang baik, sambil disokong dengan hakikat skuad negara sentiasa beraksi di Sukan Olimpik dan Piala Dunia, yang menjadi impian setiap atlet.

Penampilan pertama skuad hoki negara di Sukan Olimpik adalah pada 1956 di Melbourne dan ia berterusan sehingga 2000 di Sydney.

Malangnya, selepas itu Malaysia gagal layak untuk tiga Sukan Olimpik berturut-turut dan mungkin juga terlepas temasya di Rio de Janeiro, Brazil tahun hadapan selepas penampilan mengecewakan pada Liga Hoki Dunia di Belgium baru-baru ini.

“Saya kurang yakin kita mempunyai potensi untuk kembali menjadi pasukan handalan dunia dan ini tidak akan berubah kecuali kita mengakui kekurangan dalam pendekatan latihan dan belajar daripada ‘bekas murid’, pasukan dari Eropah.

“Dulu, Asia adalah kuasa besar dengan India dan Pakistan menjadi peneraju, tetapi sekarang ia sudah bertukar. Kita tidak boleh nafikan pasukan Eropah terutama Jerman, Belanda dan Belgium sudah berada di tahap berbeza,” katanya.

Fook Loke berkata, jika Australia dan New Zealand mampu berada dalam kumpulan elit, masih ada peluang untuk skuad hoki negara mencapainya.

Mengakhiri kata-katanya, Fook Loke sekali lagi menjelaskan skuad 1975 adalah gambaran terbaik 1Malaysia dengan pemainnya terdiri daripada pelbagai kaum selaras dengan konsep perpaduan dilaungkan Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");