Sukan Hari Ini

KAFA masih tunggu surat hukuman FAM

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) belum dapat mengemukakan surat rayuan berhubung tuntutan tunggakan gaji bekas jurulatih Steve Darby kerana masih menunggu surat hukuman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor menjelaskan, surat hukuman Jawatankuasa Rayuan FAM itu mungkin diterima selewat-lewatnya hari ini, bagi membolehkan pihaknya mengemukakan rayuan bagi menyelesaikan masalah itu.

Katanya, pihak pengurusan KAFA sudah menyiapkan draf surat rayuan termasuk menjelaskan masalah dihadapi persatuan.

“Saya tidak boleh menjelaskan secara terperinci kepada media disebabkan Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa masih berada di luar negara dan dijangka pulang dalam tempoh terdekat ini.

“Namun saya percaya masalah ini dapat diselesaikan segera sekiranya mendapat kerjasama semua pihak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sebelum itu, Annuar mengancam untuk menarik diri daripada menjadi ahli gabungan FAM selepas mendakwa badan induk itu tidak menjaga kebajikan ahli apabila mengarahkan mereka melunaskan tuntutan gaji tertunggak RM636,000 dituntut Darby.

Menurut Ismail, pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat pengurusan KAFA esok bagi membincangkan beberapa perkara.
“Walaupun pelbagai isu (dalaman) melanda KAFA, ia langsung tidak mengganggu serta menjejaskan persiapan pasukan menghadapi baki enam perlawanan liga.

“Tumpuan kita sekarang ini ialah berusaha memperbaiki kedudukan daripada tangga kesembilan kepada keenam atau tujuh,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi bekas jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah mencetuskan kejutan terhadap kem Kelantan apabila mendakwa bekas majikannya itu gagal membayar gajinya untuk tempoh sebulan.

Mohd Azraai ketika dihubungi berkata, sebaik masalahnya disiarkan sebuah akhbar tempatan, kelmarin, wakil KAFA ada menghubunginya serta menjelaskan tunggakan gaji untuk Jun itu akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Katanya, pada awalnya, beliau tidak mahu memperbesarkan perkara itu kerana menghormati pengurusan KAFA, namun, sebaik menyedari haknya tidak diendahkan, tindakan sedemikian terpaksa diambil.

“Saya hanya tuntut hak (gaji) untuk Jun walaupun meletakkan jawatan ketua jurulatih pada 5 Julai lalu.

“Sebaik dihubungi, saya bersetuju menerima penjelasan itu. Tapi jika masih gagal, saya tidak akan berdiam diri,” katanya.

– http://www.hmetro.com.my/

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");