Berita Hari Ini

Malaysia membenteras rasuah dibentang di IACC

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjadi tuan rumah International Anti-Corruption Conference (IACC) ke-16 bermula 2 hingga 4 September di Putrajaya.

Persidangan tiga hari yang dianjurkan bersama Transparency International ini membawa tema ‘Ending Impunity: People, Integrity, Action’.

Ia bertujuan memberi sokongan dan pendedahan kepada pelbagai lapisan masyarakat di lebih 130 buah negara untuk menentang rasuah.

Matlamat persidangan, antara lain untuk membentangkan pelbagai usaha penyelesaian membanteras kegiatan rasuah serta mereka yang bertanggungjawab melaksanakannya.

Ia juga bertujuan mendapatkan penglibatan peserta baru dalam perjuangan menentang rasuah serta mempromosi budaya integriti dalam semua sektor masyarakat bagi mencapai perubahan positif yang dapat dikekalkan.

Peserta daripada sektor awam dan swasta, masyarakat sivil serta pertubuhan belia akan berhimpun untuk mencari jalan memperkasa langkah membasmi rasuah, meningkatkan ketelusan serta kebertanggungjawapan.

Diharapkan langkah sedemikian dapat membawa mereka yang mengamalkan rasuah ini ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.

“Lebih daripada 2,000 peserta akan berhimpun untuk membincangkan sejauh mana kita telah berjaya dalam perang menentang rasuah dan apa yang kita perlu lakukan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan kepada Bernama.


Berkongsi amalan terbaik

Peserta persidangan juga akan berkongsi amalan terbaik serta membincangkan perkembangan terkini dalam usaha serta kaedah menyelesaikan masalah rasuah.

Sebagai tuan rumah, SPRM akan membentangkan pencapaian serta kejayaan Malaysia membenteras kegiatan rasuah.

Malaysia telah melaksanakan peraturan serta proses yang dinilai sebagai mematuhi piawaian global.

Inisiatif membanteras rasuah Malaysia di bawah Program Transformasi Kerajaan telah mendapat ulasan yang positif daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkenaan Dadah dan rasuah (UNODC).

Pada 7 Februari 2014, UNODC mengeluarkan hasil penilaiannya berhubung pematuhan Malaysia terhadap syor yang dibuat dalam Konvensyen Pencegahan Rasuah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCAC).

laporan itu menyenaraikan 23 amalan baik dalam usaha membanteras rasuah di Malaysia, iaitu angka tertinggi daripada 168 buah negara yang dikaji. Bagi mempromosi tadbir urus yang baik serta integriti dalam perkhidmatan awam, kerajaan telah mewujudkan 800 unit integriti meliputi semua kementerian kerajaan, agensi dan perbadanan berkaitan kerajaan (GLC).

Setiap unit integriti diketuai Pegawai Integriti Bertauliah (CeI0) yang mendapat latihan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia. CeIO akan melaksanakan program penyusunan semula yang diperlukan bagi meningkatkan tadbir urus serta integriti di kementerian, agensi atau GLC masing-masing.

Low mempengerusikan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) peringkat kebangsaan. Beliau akan membuat laporan berhubung perkara tadbir urus dan integriti kepada kabinet.

Cabaran getir

Bagaimanapun, di sebalik pencapaian ini, perkembangan terkini di negara ini meletakkan Malaysia, terutamanya SPRM untuk dikritik oleh masyarakat antarabangsa terutamanya Transparency International.

Negara ini bakal berdepan dengan ujian tadbir urusnya pada peringkat tertinggi.

Pegawai penguatkuasaan kanan sama ada dipindah tugas atau dinaikkan pangkat dan ini menyebabkan proses siasatan tergendala.

Pasukan petugas antara agensi yang sedang giat menyiasat perkara yang tidak kena berhubung kewangan dibubarkan.

Penyiasat pula sedang disiasat. Akibatnya, ini menimbulkan persoalan tentang kebebasan institusi berkenaan.

Low yang sebelum ini menyandang jawatan presiden Transparency International Malaysia (TI-M)berkata SPRM sedang melalui saat getir dan peserta persidangan sudah pasti ingin tahu bagaimana SPRM dapat melaksanakan tugasnya dalam keadaan sekarang.

“Kita perlu belajar dan memahami apa yang berlaku, kenapa ia berlaku, kesannya dan bagaimana untuk menghalang perkara yang sama daripada berulang pada masa depan,” kata Low.

Menurut beliau, agensi pengawal dan penguatkuasa, terutamanya SPRM berdepan dengan ujian iaitu sejauh mana mereka dapat mengekalkan peraturan, undang-undang serta menegakkan integriti dan dalam masa yang sama melakukan yang betul selaras dengan mandat yang diberi kepada mereka.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");