Membawang Hari Ini

Mawi Terkejut Remaja Bersiar-Siar Dengan Senjata M16

PETALING JAYA: Penyanyi Mawi memberitahu pada awalnya dia agak gementar untuk menjalani penggambaran dokumentari terbitan produksinya Mawi World Entertainment, di bumi Palestin dan Israel berikutan keadaan pergolakan yang sentiasa dilaporkan media masa.

Namun, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 34, berkata, perasaan tersebut hilang apabila kunjungan mereka disambut dengan baik seterusnya merubah persepsi yang sering digambarkan di televisyen.

“Kita biasa dengar tempat-tempat sebegitu sangat bahaya dan tidak selamat untuk dikunjungi pelancong, namun sebenarnya apa yang saya lihat ia jauh berbeza. Saya tidak mengalami sebarang masalah sepanjang 12 hari di sana.

“Keadaan di sana harmoni dan persekitaran di bandar Tel Aviv seperti di Singapura, mereka sangat mementingkan kebersihan,” ujarnya kepada mStar Online.

Mawi bersama 12 kru produksi menjalani penggambaran dokumentari berjudul Mawi Di Bumi Mikraj selama 12 hari pada Mei lalu. Bagaimanapun, hak penyiaran program dokumentari tersebut masih belum diberi kepada mana-mana stesen televisyen.

Dia juga sempat mengunjungi bandar Tel Aviv, Hebron, Nazareth dan Jarussalem di Israel.

“Saya masuk menerusi Jordan bersama 12 kru dan selebihnya mereka bercuti kerana rombongan ini ditaja oleh agensi pelancongan Intifada Travel.

“Alhamdulillah tiada sebarang masalah, hanya ketika di sempadan Tel Aviv pemeriksaan pasport agak ketat hingga kami terpaksa menunggu selama tiga jam untuk melepasinya,” ujar Mawi.

Dalam pada itu, Mawi turut berkesempatan mengunjungi masjid Al-Aqsa, Marwan dan Buraq, makam nabi Ibrahim dan isteri iaitu Siti Sarah, makam Nabi Isa serta beberapa tempat ibadah penganut Kristian dan Yahudi.

Biarpun kelihatan tenang, Mawi mengakui agak terkejut apabila kebanyakan ramaja di Tel Aviv membawa senjata ketika keluar berjalan-jalan di pasar malam.

“Antara pengalaman menarik juga ketika saya ke pasar malam di satu kawasan di Tel Aviv. Ketika sedang berjalan-jalan saya ternampak dua remaja yang hanya memakai seluar pendek dan baju T dengan memengang senjata jenis M16 sedang berlegar-legar di situ.

“Rupa-rupanya perkara itu sudah biasa bagi masyarakat di sana. Agak terkejut juga saya melihatnya. Mulanya saya ingat senjata permainan tetapi memang senjata sebenar. Namun, mereka tidak menganggu atau mengendahkan pelancong yang datang,” ujarnya.

Sementara itu, dalam lain Mawi kini sibuk dengan promosi single terbaharunya bersama Dali (Ahli Fiqir) berjudul Sahabat Dalam Tubuh.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");