Isu Panas

Pas lebih kuat sejak Harapan Baru

ALOR SETAR – Pas Kedah kini lebih mantap sejak sekumpulan ahlinya bertindak menubuhkan Harapan Baru.

Timbalan Pesuruhjaya 1, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kepimpinan yang ada dalam Pas sekarang tidak lagi dihadapkan dengan polemik dalaman parti yang berpanjangan.

“Situasi aman yang wujud dalam Pas kini menyebabkan kita mampu merancang dan mengatur pelbagai program dengan lebih baik dan berkesan.

“Buktinya apabila Pas Kedah mengadakan Himpunan Tolak BN baru-baru ini. Ahli dan penyokong hadir dalam jumlah sangat besar memberi sokongan padu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas komen Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib yang menyebut Pas ibarat diserang angin ahmar akibat tekanan politik yang banyak sehingga melahirkan serpihan dan kumpulan baru.

Md Shukri berkata, situasi itu berlaku kerana tumpuan Pas bukan lagi pada melemahkan Umno dan BN, tetapi mempertahankan parti dari godaan politik Harapan Baru.

Mohd Hayati berkata, kenyataan itu adalah propaganda kerana realiti yang berlaku dalam Pas tidak seperti yang digambarkan.

“Malah sejak kewujudan kumpulan serpihan Harapan Baru, Pas dilihat semakin kuat dan mantap,” katanya.

Menurutnya, ahli Pas Kedah juga semakin bertambah dengan mendadak iaitu lebih 5,000 orang dalam tempoh sebulan dan situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau berkata, kekuatan baharu yang wujud dalam Pas pasti akan menyemarakkan lagi semangat, azam dan kemaraannya menuju ke Putrajaya.

“Bagi Pas Kedah, dunia sudah tahu bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menghadapi tentangan daripada ahli bawahannya sendiri akibat pelbagai masalah,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Pendang itu turut berpandangan bahawa berdasarkan senario yang ada, Umno bukan sahaja diserang angin ahmar tetapi sakit jantung dan diabetes.

“Kesan dari pelbagai penyakit dalaman yang menyerang Umno selaku parti memerintah, maka kerajaan Malaysia dilihat tidak stabil dan masyarakat antarabangsa khususnya pemain ekonomi hilang keyakinan terhadap negara ini.

“Penganalisis ekonomi dan politik, Tun Daim Zainuddin juga pernah mendedahkan bahawa kepimpinan negara yang hilang wibawa dan kemerosotan keyakinan oleh pihak luar menjadi faktor penting terhadap kejatuhan nilai ringgit sekarang,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");