Membawang Hari Ini

Sinematografi kemas taruhan Kelambu

Jika tahun lalu filem pendek arahan Saeim Muhammad berjudul The Pillar tewas kepada Jahit, terbitan Reservoir Production, tahun ini sekali lagi filem pendek arahannya berjudul Kelambu dipertandingkan pada Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27).

Empat lagi yang dicalonkan dalam kategori Filem Pendek Terbaik ialah Xing terbitan Seeing Eye Film, Hajat (Ng Ken Kin), Salvaj (Cho We Jun) dan Leleh (Fadhlan Khair).

Kategori terbabit semakin mendapat perhatian daripada penggiat filem bebas sejak ia diperkenalkan.

Saeim berkata, dia teruja kerana ini kali kedua filem arahannya dicalonkan bagi kategori sama.

“Walaupun kecewa dengan kekalahan sebelum ini, namun saya memahami ia diadili juri profesional dan pastinya filem pendek yang lebih baik mempunyai kelebihan tersendiri.

“Kekalahan itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya. Saya menghasilkan Kelambu dan ia adalah naskhah kreatif yang cuba mengetengahkan konsep ‘puisi drama’ yang jarang diketengahkan penggiat kreatif di Malaysia,” katanya yang turut berlakon dalam filem berkenaan bersama Didi Astillah.

Kelambu mengisahkan senario remaja yang terhimpit dengan permasalahan ‘dunia’ mereka.

“Saya paparkan gejala sosial yang sering terjadi kepada remaja dan filem ini juga cuba menggarap persoalan kehidupan yang berbeza.

“Ketika jiwa tandus dan leka, kita sering tercari-cari apakah erti kehidupan. Pada akhirnya, cerita kita dan tujuan hidup kita sama iaitu kembali kepada Tuhan,” katanya.

Saiem berkata, ‘kelambu’ boleh diibaratkan sebagai agama iaitu kepercayaan kita. Maksudnya, selagi kita berada di dalamnya kita boleh selamat dan tidur dengan nyenyak.

“Kesilapan dan kealpaan kita boleh memberi ruang kepada anasir negatif dari luar masuk ke dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan yang satu, walau menyimpang jauh sekalipun, dia tetap akan mencari-Nya,” katanya.

Menurut Saiem, Kelambu cuba mengetengahkan prinsip spiritual dan berselang dengan alam trauma yang sering menjadi igauan serta mimpi ngeri kepada watak utama bernama Bella, gadis bandar yang kaya tetapi terbiar.

“Karya saya kali ini banyak bermain dengan ruang, jarak masa dan perlambangan. Penekanan kepada teknik dan bahasa visual dalam paparan sinematografi yang kemas, selaras dengan semiotik yang cuba digarap dalam setiap babak dan disampaikan secara halus dan bersahaja,” katanya.

Mengakui masih muda dan ‘hijau’ lantas dalam membolehkan idea Kelambu direalisasikan, Saiem turut mendapatkan kerjasama daripada pengarah fotografi dan pengarah bersama filem pendek itu, Hendra Mojoreel.

Selain itu, antara tulang belakang yang menjayakan penerbitan Kelambu ialah Muhammad Fadhli dan Azuwan Abdullah selaku penerbit bersama, Khairul Anwar (Pengurus Produksi & Props), Azam Rashid (jurukamera) dan Rosli Mohd Nordin (publisiti).

Adat bertanding pasti ada yang menang dan ada yang kalah, justeru Saiem tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi.

“Apa saja keputusan juri saya terima seadanya kerana apa yang lebih penting ialah niat asal dan keikhlasan saya ingin turut serta dalam menyemarakkan festival filem berprestij ini.

“Sebagai pendatang baru yang mula berjinak dalam dunia pembikinan filem, sudah tercalon peringkat akhir FFM27 adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan,” katanya.

Kepada yang yang ini menonton sedutan filem pendek Kelambu layari www.facebook.com/kelambufilm, www.youtube.com/mojoreel dan www.kelambufilm.com.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");