Jenayah

Aksi rompak dirakam CCTV

KOTA BHARU – Dua penjenayah berputih mata apabila mesin juruwang yang dilarikan dalam rompakan di sebuah stesen minyak di Batu 2, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pagi kelmarin, rupa-rupanya tidak mengandungi hasil jualan premis itu.

Sebaliknya pula, perkara lebih malang berlaku apabila gelagat mereka selama tempoh lima minit itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang baru dipasang pemiliknya sejak dua bulan lalu.

Penyelianya, Abdul Aziz Yusof berkata, kejadian disedari seorang daripada pekerja stesen, Nor Azlan Mahadi yang datang untuk memulakan operasi sekitar jam 7 pagi.

Nor Azlan kemudiannya segera ke rumah Abdul Aziz yang hanya ambil masa lima minit dari premis tersebut untuk memaklumkan kejadian itu.

“Saya datang ke stesen untuk memeriksa keadaan dan mendapati pejabat berselerak. Kaunter juruwang terbalik dan mesin juruwang ditempatkan di situ hilang,” katanya.

Abdul Aziz berkata, itu bukan kejadian pertama dan mereka bernasib baik kerana sentiasa mengamalkan langkah keselamatan dengan memindahkan hasil jualan ke tempat lain setiap kali menutup operasi stesen tersebut pada jam 12 tengah malam setiap hari.

Menurutnya, pemeriksaan CCTV yang dilakukan mendapati, terdapat dua lelaki menaiki kereta jenis Proton Wira berwarna hitam tiba ke stesen itu kira-kira jam 5.29 pagi. Mereka mengendap dan menyuluh lampu ke dalam kawasan pejabat.

“Mereka cuba mengumpil pintu tetapi gagal. Akhirnya, seorang daripada mereka dilihat mengambil batu blok dan bertindak memecahkan cermin lalu masuk ke dalam bahagian pejabat.

“Dalam rakaman itu, mereka juga dilihat mengambil seunit monitor pam layan diri, seunit CPU, beberapa botol minyak silinder dan menarik mesin juruwang sehingga kaunter terbalik,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan turut menyerahkan rakaman tersebut. Kerugian dianggarkan bernilai RM16,190.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");