Berita Hari Ini

Buku ‘Siapa Kata Tidak Dijawab’ Tepis Tuduhan Isu 1MDB

PETALING JAYA: Maklum balas berhubung isu 1MDB disusun dalam sebuah buku kecil bagi menepis sebarang tuduhan yang mempersoalkan sumbangan dana yang belum dijelaskan kerajaan.

Buku setebal 62 halaman berjudul “Siapa Kata Tidak Dijawab” mempunyai jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Presiden serta Pengarah Eksekutif Kumpulan, Arul Kanda Kandasamy berkaitan 1MDB.

Buku yang diterbitkan Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu diagihkan buat pertama kalinya pada majlis “Amanat Hari Kebangsaan” di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC), 30 Ogos lalu dan ia akan diedarkan kepada awam.

Buku itu dibahagikan kepada tiga bahagian – prakata, 32 soalan yang biasa ditanya dan kisah 1MDB, selain info grafik dan gambar untuk memudahkan pemahaman pembaca.

“Buku ini adalah bukti bagi menepis dakwaan dan jawapan sudah diberi. Diharap tiada lagi tuduhan bahawa isu 1MDB tidak ditangani,” menurut catatan prakata naskhah itu.

Antara intipatinya termasuk menyangkal kehilangan RM42 bilion, sambil menjelaskan RM18 bilion digunakan untuk membeli loji tenaga bebas (IPP).

Ia juga menjelaskan mengenai RM1 juta yang diterima syarikat dalam bentuk ekuiti daripada kerajaan pada 2009 dan pinjaman jangka pendek sebanyak RM950 juta pada Mac tahun ini.

“1MDB tidak memperoleh pembiayaan secara langsung daripada kerajaan dan perlu mendapatkan dana sendiri daripada pasaran modal tempatan serta antarabangsa. Sejumlah RM42 bilion itu adalah dalam bentuk pinjaman bank, bon dan sukuk,” menurut penjelasan dalam buku tersebut.

Ia turut memaklumkan bahawa sejak Februari lalu, Perdana Menteri, Ahmad Husni dan Arul Kanda beberapa kali tampil menjelaskan isu 1MDB.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");