Jenayah

Cubaan tiga lelaki lari bawa padah

KUALA LUMPUR – Sekumpulan lelaki nekad merempuh sekatan polis di Chow Kit dan melarikan diri kira-kira lima kilometer sebelum tumpas di Bulatan Segambut, semalam.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek berusia 25 hingga 33 tahun yang menaiki kereta jenis Proton dilihat dalam keadaan yang mencurigakan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad, anggotanya kemudian cuba menahan kereta yang dinaiki mereka namun suspek bertindak agresif dengan memecut laju.

“Arahan supaya kereta tersebut berhenti bagaimanapun tidak diendahkan suspek sebelum mereka terus memecut melalui Jalan Raja Laut, hingga melanggar beberapa buah kereta orang awam dan seorang wanita tempatan.

“Suspek yang terdesak cuba merempuh semua anggota polis yang cuba tahan keretanya. Anggota polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta itu.

“Akhirnya, dengan bantuan kereta peronda bantuan, suspek berjaya ditahan di Bulatan Segambut,” katanya.

Beliau berkata, kejadian itu telah menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan.

Susulan itu, pemeriksaan pada pemandu mendapati terdapat kesan luka di lengan kiri dipercayai terkena tembakan selain cedera di kening akibat hentakan di stereng.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang lelaki yang berada di tempat duduk belakang merupakan anggota tentera dari Kem Sungai Besi.

“Hasil semakan rekod mendapati, dua daripada tangkapan ini mempunyai beberapa rekod bersabit kes dadah dan wang palsu.

“Kita masih menyiasat motif kejadian susulan penemuan sebuah gari pada poket salah seorang suspek. Selain itu, turut dirampas alatan hisap dadah, duit palsu, mesin pencetak wang palsu dan kenderaan digunakan suspek yang disyaki disewa,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");