Sukan Hari Ini

Durian runtuh THT

Kuala Terengganu: Terengganu Hockey Team (THT) mendapat durian runtuh apabila kerajaan negeri mengumumkan ganjaran RM10,000 bagi setiap pemain dan pihak pengurusan susulan kejayaan menjulang Piala Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, insentif berkenaan sebagai menghargai pengorbanan dan kesungguhan pemain serta pihak pengurusan dalam mengekalkan piala itu buat kali kedua berturut-turut.

“Bukan mudah mengekalkan kejuaraan liga tapi pemain THT membuktikan mereka layak digelar pasukan hoki terkuat negara.

“Hasil kejayaan muncul juara dua kali berturut-turut itu, kerajaan negeri bersetuju memberi ganjaran RM10,000 kepada setiap pemain dan pihak pengurusan.

“Sekiranya THT berjaya mengekalkan kejuaraan dalam saingan Piala TNB yang berlangsung selepas ini, kerajaan negeri akan memikirkan bentuk hadiah lain pula untuk diberikan,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kelmarin.

Pada aksi itu THT berjaya membalas dendam kekalahan perlawanan pembuka tirai dengan menewaskan Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) 5-4 sekali gus dinobatkan juara liga dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM70,000, KLHC selaku naib juara meraih RM50,000.

Ahmad Razif juga mengumumkan kerajaan negeri akan membina dua lagi stadium hoki bertaraf antarabangsa di Kuala Nerus.

“Selain itu kami juga akan menaik taraf stadium hoki sedia ada di Batu Buruk dan Gong Badak untuk memastikan keselesaan peminat serta menjadi kuasa dalam sukan itu,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");