Sukan Hari Ini

KLHC terus beri tekanan kepada THT

JUARA Piala Sumbangsih musim ini, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) berdepan laluan sukar untuk terus mencabar juara berganda musim lalu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam usaha merampas kembali gelaran Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL).

Semuanya selepas pasukan bimbingan K Dharmaraj itu terikat dengan keputusan seri 4-4 dalam aksi sengit menentang Sapura di Stadium Hoki Bukit Jalil, kelmarin.

Keputusan seri itu menyebabkan KLHC menghuni tangga kedua selepas THT terus meraih kemenangan 3-2 menentang Maybank, di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Kini, hanya satu sahaja yang mampu dilakukan oleh anak buah Dharmaraj untuk mereka merampas kedudukan di tangga teratas iaitu mereka wajib menang menentang THT dalam aksi, Jumaat ini.

“Pemain mengambil mudah dalam aksi ini. Kami dihukum dengan gol awal Sapura tetapi kami mampu bangkit walaupun terlepas banyak peluang.

“Keputusan seri ini lebih baik daripada tiada sebarang mata. Apa pun, kami perlu menang menentang THT di Terengganu,” kata Dharmaraj.

Mengulas aksi menentang THT itu nanti, Dharmaraj tidak mahu pemainnya masih terbuai dengan kemenangan 6-2 dalam aksi pembukaan liga musim ini.

Katanya, pemainnya perlu berjuang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

“Kami tidak mahu dibayangi dengan kemenangan, 6-2, dalam aksi Piala Sumbangsih itu nanti.

“THT tidak akan membuatkan kami meraih kemenangan dengan mudah. Mereka mempunyai rekod baik ketika menentang kami.

“Saya dapat rasakan perlawanan itu akan menjadi aksi yang begitu sukar,” katanya.

THT terus kejar sasaran

Bagi THT, kegagalan KLHC dalam meraih tiga mata penuh terus memberi peluang buat mereka untuk mempertahankan kejuaraan yang mereka raih musim lalu.

Pasukan bimbingan Sarjit Singht itu menghuni tangga teratas liga dengan 24 mata dibezakan satu mata dengan KLHC yang menduduki tangga kedua.

Kedudukan itu bagaimanapun masih belum selamat buat THT kerana KLHC masih mampu merampas kedudukan teratas liga andai mereka kecundang dalam aksi di Terengganu, Jumaat ini.

Sementara bagi Hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), mereka masih terus kempunan dalam meraih sebarang mata musim ini apabila skuad bimbingan Arul Selvaraj tewas 3-4 ketika menentang TNB.

Dalam aksi itu, UniKL meraih jaringan awal menerusi Muhammad Azwar Abdul Rahman, pada minit ke-18 namun disamakan TNB melalui jaringan Muhammad Amirol Aideed m-38.

UniKL kembali di depan menerusi dua gol daripada S Selvaraju m-43 dan Muhammad Najmi Farizal m-52 bagaimanapun, TNB memberi kejutan dengan meraih tiga lagi gol bagi mengesahkan kemenangan berpihak kepada mereka.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");